Pemilik Mios Kitchen, Mior Azim Badalishah (kiri) dan Mior Amin Badalishah menunjukkan makanan yang dipromosikan selepas temubual bersama Malaysia Gazette di Mios Kitchen Bandar Kinrara, Puchong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2021.

PUCHONG – Restoran milik keluarga yang diasaskan oleh dua-beradik hanya bermula dengan gerai di bawah pokok dengan menjual sate sejak 2007.

Namun minat yang mendalam bagi Mior Azim Badalishah dan adiknya, Mior Amin untuk mengembangkan bisnes mereka tidak pernah padam.

Dari situ mereka meniaga pula di bazar-bazar pada tahun 2012 dengan menjual menu makan barat seperti pasta sebelum berjaya membuka premis di medan selera pertama di Kampung Medan, Petaling Jaya tiga tahun kemudian.

Namun siapa sangka, operasi bisnes itu berkembang dengan pantas apabila memiliki sebanyak sembilan premis dalam satu masa.

Combo Yop yang dipromosikan di Mios Kitchen Bandar Kinrara, Puchong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2021.

Tanpa menoleh belakang lagi, mereka memberanikan diri membuka restoran pertama di Shah Alam pada Mei 2017 bermodalkan RM50,000

Dikenali sebagai Mios Kitchen, restoran itu kini memiliki cawangan lain antaranya di Putrajaya.

Bagi Mior Azim, keunikan restoran itu yang diusahakan bersama dua ahli keluarga lain kerana ia berkonsepkan keluarga.

Malah katanya, menu yang ditawarkan juga dikhaskan untuk dimakan bersama di dalam satu pinggan.

“Set Kombo iaitu Kombo Yop memang istimewa dan menjadi pilihan dan bualan pelanggan. Apa tidaknya dengan harga RM50, menu itu boleh dimakan antara dua hingga tiga pelanggan.

“Ini kerana kebiasaanya, harga bagi menu sekitar RM70 di kebanyakan restoran lain. Malah set Chicken Chop juga dijual pada harga RM16.90 dan harga minuman buah-buahan bermula serendah RM3.90.

“Keutamaan kami adalah pelanggan akan berpuas hati selepas menjamu selera yang memenuhi semua ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di Mios Kitchen Bandar Kinrara di sini baru-baru ini.

Double Chocolate Oreo Ice Blended yang dipromosikan di Mios Kitchen Bandar Kinrara, Puchong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2021.

Ditanya cabaran getir mengendalikan bisnes restoran itu, Mior Azim mengakui pada peringkat awal perniagaan, faktor pekerja menjadi kekangan apabila operasi perniagaan mula berkembang.

Jelas beliau yang berusia 36 tahun, ini kerana cabaran untuk membangunkan perniagaan menjadi sukar apabila jumlah pekerja semakin bertambah.

“Bila syarikat semakin maju, kita pula akan menuju kepada nilai-nilai korporat di mana kos operasi juga semakin bertambah.

“Pada masa sama, kami juga perlu bersaing dengan pesaing dalam dari segi harga dan kualiti menu yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, Mior Amin berkongsi pengalaman mereka menjalankan perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Ujar beliau, gara-gara pelaksanaan itu, jualan Mios Kitchen jatuh menjunam sehingga 90 peratus.

Malah kata Mior Azim, 31, mereka juga terpaksa memberi cuti kepada kakitangan sambilan dalam usaha mengelakkan kos operasi yang tinggi.

Pemilik Mios Kitchen, Mior Amin Badalishah menunjukkan bungkusan ‘Grill Chicken Chop’ dan Grill Lamb Chop’ yang dijual selepas temubual bersama Malaysia Gazette di Mios Kitchen Bandar Kinrara, Puchong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2021.

“Kami juga terpaksa beralih kepada jualan dalam talian ketika PKP di mana sebelum itu jualannya hanya sekitar 15 peratus sebelum PKP,” katanya.

Mior Amin menambah, pihaknya turut terhutang budi dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang banyak membantu mereka sebelum dan ketika PKP dalam usaha meneruskan operasi syarikat termasuk kini mampu mengeluarkan makanan sejuk beku sendiri.

Kata beliau, tanpa PUNB, Mios Kitchen tidak mampu sampai pada tahap hari ini walaupun berdepan jatuh bangun sejak penubuhannya.

Bagi mereka yang ingin menikmati seleras di Mios Kitchen, bolehlah datang ke restoran itu di No 29-G, Jalan BK 5a/2, Bandar Kinrara, di sini.

Untuk maklumat lanjut atau tempahan pula, layari  www.mioskitchen.com atau hubungi talian 011-5635 6604. – MalaysiaGazette

Pekerja Mios Kitchen melakukan runtin harian di Mios Kitchen Bandar Kinrara, Puchong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2021.