Kulasegaran
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2018.

IPOH – Jawatankuasa bebas yang menyelaras secara menyeluruh dasar dan mengurus pekerja asing akan memulakan tugas pada minggu kedua Oktober ini, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Beliau berkata, jawatankuasa itu diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Hishamuddin Yunus dan jurucakap kumpulan bekas penjawat awam (G25) Datuk Noor Farida Ariffin.

Jawatankuasa itu akan pergi ke seluruh negara bermula Perlis hingga ke Sabah untuk mendapatkan pandangan mengenai pengambilan pekerja asing.

“Jawatankuasa bebas ini akan memberi cadangan kepada kerajaan selepas mendapatkan pandangan mengenai isu pekerja asing supaya satu keputusan yang holistik dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Ria Amal 2018 di Sekolah Semangat Maju Ipoh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kula Segaran berkata kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa negara untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai kemasukan pekerja asing di negara ini.

“Semua perjanjian dengan Bangladesh, Indonesia, Nepal, India sebelum ini sudah tamat tempoh kecuali dengan Sri Lanka. Walaupun kita berhasrat untuk menandatanganinya (MoU), namun ada beberapa sekatan yang perlu mendapatkan penyelesaian terlebih dahulu,” katanya.

Antara permasalahan yang perlu diselesaikan adalah mengenai gaji serta perlindungan terhadap pekerja asing yang bekerja di sini.

Kula Segaran, yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat, berkata lebih 100 anak kurang upaya di sekolah itu menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan pada program itu.

Beliau juga memohon agar orang ramai dapat memberi sumbangan untuk menampung kemudahan di sekolah swasta titu, yang menempatkan pelajar daripada golongan kanak-kanak istimewa.

“Saya juga akan melihat bantuan sebagaimana yang boleh kementerian saya bantu untuk sekolah ini, mungkin menyediakan tenaga pengajar untuk mengajar anak istimewa ini,” katanya.- MalaysiaGazette