Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peranan dan fungsi Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) di seluruh negara akan diserap ke dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuatkuasa 1 Mei ini.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan terbaharu di Putrajaya berkata, langkah itu diambil kerana amat prihatin tentang keselamatan orang ramai khususnya pengguna jalan raya di seluruh negara.

“Penyerapan itu juga bertujuan memperkasa serta memantapkan lagi jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Penyerapan ini adalah mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pengangkutan jalan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

“Akta itu memperuntukkan suatu akta bagi membuat peruntukan mengenai pengawalseliaan kenderaan-kenderaan motor dan lalu lintas di jalan-jalan dan perkara lain yang berkenaan dengan jalan-jalan dan kenderaan-kenderaan di atasnya,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Tambah kementerian lagi, ia juga langkah bagi membuat peruntukan mengenai perlindungan pihak ketiga terhadap risiko yang berbangkit daripada penggunaan kenderaan-kenderaan motor bagi membuat peruntukan mengenai penyelarasan dan pengawalan cara-cara dan kemudahan bagi pengangkutan.

Selain itu, kata kementerian penyerapan itu juga akan membolehkan membuat peruntukan mengenai penyelarasan dan pengawalan cara-cara dan kemudahan bagi pembinaan dan penyesuaian kenderaan-kenderaan motor dan bagi membuat peruntukan mengenai maksud yang berkaitan.

Jelas lagi, proses itu tidak akan mengakibatkan sebarang pembuangan kakitangan sebaliknya kakitangan JKJR akan terus berkhidmat di JPJ bagi menjalankan tugas sebagai peneraju advokasi keselamatan jalan raya demi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

“Para kakitangan akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras bagi inisiatif-inisiatif baru ke arah peningkatan keselamatan jalan raya.

“Kementerian mengharapkan penyerapan ini akan menambahbaik dan mempertingkatkan lagi urus tadbir jabatan khusus dalam soal keselamatan jalan raya sekaligus membawa manfaat kepada rakyat negara ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette