Foto Instagram Fatimah Ismail.

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap dan penulis lirik terkenal tanah air, Joe Flizzow akhirnya bergelar suami selepas selamat bernikah dengan wanita pilihan hatinya, Marini Ramlan pada Jumaat.

Majlis pernikahan itu dikongsikan oleh ibu Marini, Fatimah Ismail menerusi akaun Instagram miliknya dengan tanda pagar #JoeNini.

“Hari ini merupakan hari bahagia anak perempuan saya Nini dan Joe Flizzow. Tahniah buat keduanya, semoga perkahwinan kalian direstui Allah dan kekal selamanya.

“Kepada Joe, selamat datang ke dalam keluarga kami. Sayang selamanya, Ibu,” tulis Fatimah menerusi muat naik gambar pasangan yang lengkap mengenakan persalinan berwarna putih dan sedang duduk di atas pelamin.

Sementara itu, menerusi akaun Instagram adik kepada Marini, Didi Ramlan, beliau turut memuat naik beberapa keping gambar majlis pernikahannya dengan kapsyen ‘COVID wedding vibes’.
Difahamkan, Joe memilih Marini yang juga seorang pelukis dan usahawan selepas beberapa tahun menyulam cinta dengan wanita berkenaan.
Mereka mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lepas dan dijangka mendirikan rumahtangganya pada April lalu.

Namun, kedua pasangan itu terpaksa menundakan hasratnya ekoran penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. – MalaysiaGazette