Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau kawasan tanah runtuh yang melibatkan 7 buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020

AMPANG – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menguruskan segera kerja-kerja pembaikan tebing cerun tanah di Sungai Sering dan anak sungainya sepanjang 70 meter yang terjejas akibat runtuhan dalam kejadian pada pukul 2.21 pagi di belakang Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa pagi ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari berkata, buat masa ini hasil penilaian terhadap tembok runtuh di tebing cerun sungai itu dianggarkan masa enam bulan untuk dibaikpulih dan kerja-kerja akan disegerakan.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sediakan RM2 juta untuk pembinaan membina semula tembok penahan cerun yang runtuh itu dan JPS akan membaiki tebing Sungai Sering dan anak sungai (70 meter panjang) di bawah sana.

“Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu, projek pembaikan yang sudah ditender itu telah ditangguhkan kerja-kerjanya.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) Selangor Khamis depan untuk tindakan pelaksanaan segera tanpa melengahkan masa.

“Justeru, peruntukan kewangan untuk tujuan kecemasan sewaktu PKP di Selangor yang tidak digunakan akan digunakan segera untuk bencana ini bagi menambah dan memperkuatkan kerja penambahbaikan di lokasi risiko berlaku kejadian tanah runtuh itu,” katanya dalam sidang media selepas hadir meninjau lokasi terjejas hari ini.

Justeru, Amirudin juga bersetuju untuk kerajaan negeri Selangor akan menanggung segala kos penginapan di hotel De Palma melibatkan tujuh keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh untuk tempoh seminggu sebelum mereka berpindah ke rumah sewa.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus memantau situasi di lokasi kejadian dari semasa ke semasa supaya kejadian tidak berulang dan penyelesaian tetap dicapai segera.

“Ini bukan kejadian pertama yang mana pada tahun 2008 berlaku insiden pertama diikuti satu lagi runtuhan sebuah rumah pada tahun lepas. Cukuplah ya apa yang berlaku pagi ini, kita kena bertindak pantas.

“Kita sedang mendapatkan data angka sebenar yang terjejas akibat tanah runtuh dan akan menyalurkan bantuan selanjutnya yang diperlukan selepas itu sementara mereka mencari rumah sewa

“Berkenaan tembok penahan di tebing Sungai Sering di belakang perumahan yang terjejas ini akan dimulakan kerja-kerjanya pembaikan kerana kejadian pagi tadi menyebabkan ia tersumbat, maka pengstabilan dan pengukuhan tanah akan dilakukan sebelum proses selanjutnya sementara pihak yang berwajib akan memantau dan menilai pergerakan tanah yang sedang berlaku ini,” tegas beliau.-MalaysiaGazette