Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memeriksa kenderaan perdagangan dala Op Bersepadu di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis keluar sebanyak 93 saman dalam masa tidak sampai tiga jam.

Itu hasil Op Bersepadu Kenderaan Perdagangan Kontinjen Johor oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSTP) yang diadakan di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula 8 pagi itu, sebanyak 152 kenderaan telah diperiksa.

Beliau berkata, Op Bersepadu dilakukan berikutan aduan orang awam berhubung pemanduan kenderaan perdagangan yang ingkar pematuhan undang-undang jalan raya.

“Pihak polis menerima banyak aduan mengenai kesalahan lalu lintas yang dulakukan kenderaan perdagangan ini. Antara kesalahan yang kita kenalpasti yang sering dulakukan kenderaan perdagangan termasuklah memandu melebihi had laju, memandu secara berbahaya,  brek tidak berfungsi, tayar botak, membawa muatan berbahaya, lampu isyarat tidak berfungsi selain halangan di lorong kecemasan.

“Setakat hampir pukul 11 pagi tadi, sebanyak 93 saman telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan yang dilakukan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Dr. Mohd. Famey Yusoff.

Menurut Ayub Khan, hari ini merupakan operasi kali ke-150 diadakan ke atas kenderaan perdagangan  telah dilakukan secara menyeluruh membabitkan kontinjen Johor sejak awal tahun hingga September lalu.

“Dalam operasi yang dijalankan, 208 buah kenderaan perdagangan yang lebih muatan telah disita dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat ( APAD) 2010 selain 341 saman POL 257 dikeluarkan,” katanya.

Operasi bersepadu kenderaan perdagangan, kata Ayob Khan akan diteruskan dengan konsep penguatkuasaan penuh oleh JSPT bagi memastikan semua pemandu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Selain  itu, pihaknya juga meneruskan operasi dengan menggunakan Kamera ICOPS (intelligent compound online payment system) yang bertindak mengesan pengguna jalan raya dengan tunggakan kompaun serta waran tangkap.

Sebanyak empat peranti ICOPS itu dibekalkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sejak awal tahun ini.

Ia digunakan di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri selain unit peronda Trafik di lebuh raya negeri ini.

Beliau berkata, penggunaan alat itu dapat mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak, waran tangkap, nombor pendaftaran palsu dan rekod jenayah curi.- MalaysiaGazette