Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki selepas menyampaikan ucapan pada Pelancaran Program SPRM PUBG i-Challenge di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 11 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak akan ada lagi penahanan melibatkan pihak penguat kuasa ekoran pendedahan aktiviti perjudian di Sungai Buloh.

Datuk Seri Azam Baki berkata, ia berdasarkan kepada penahanan tiga penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

“Saya jangka mungkin akan ada lagi tangkap. Saya ucapkan terima kasih kepada pengadu kes ini yang telah berani tampil kehadapan.

“Dalam kes ini kami minta semua bersabar di mana SPRM di peringkat kami akan jalankan tindakan penguatkuasaan di bawah kuasa dan bidang kuasa kami.

“Setakat yang kita tahan ini adalah penguatkuasa dan saya tidak menolak mungkin akan melibatkan penguat kuasa yang lain.

“Mana-mana pihak yang terlibat itu sudah tentu kita akan siasat,” katanya di program SPRM PUBG i-Challenge di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Tiga individu yang ditahan SPRM itu adalah dua daripada penguat kuasa itu dari Cawangan MBSA Sungai Buloh manakala seorang daripada MBSA Shah Alam.

Mereka berusia antara 41 tahun hingga 49 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika dipanggil memberi keterangan.

Kesemua mereka dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis-premis perniagaan tanpa lesen di sekitar Sungai Buloh.

Ditanya samada pihaknya akan menahan pegawai polis berhubung kes itu, Azam berkata mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kegiatan itu akan ditahan SPRM.

“Saya tidak boleh kata mana-mana tapi yang telah diumumkan oleh SPRM adalah daripada penguatkuasa MBSA.

“Mungkin ada lagi, hanya tuhan yang tahu,” katanya lagi.

Tangkapan itu susulan pendedahan yang tular dalam dua klip video di media sosial yang mendakwa pihak berkuasa gagal dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada premis-premis perniagaan tanpa lesen yang menjalankan haram termasuk penjualan rokok seludup dan aktiviti perjudian di Sungai Buloh. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM tahan 3 penguat kuasa MBSA, terima bayaran ‘jaga’ premis haram di Sg Buloh