Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.Anbalagan menunjukkan hasil barang rampasan pada sidang media mengenai kejayaan anggota polis menumpaskan ‘Robert Solo’ dalam aktiviti kegiatan kes pecah pejabat di kawasan lembah Klang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 OKTOBER 2022.

SERDANG – Seorang juruteknik warga emas yang melakukan pecah pejabat secara solo di sekitar Lembah Klang tumpas di tangan polis selepas merompak di pejabat majikannya sendiri baru-baru ini.

Lelaki berusia 61 tahun itu merupakan juruteknik pendawaian kamera litar tertutup (CCTV) ditahan pada hari Selasa lalu.

Ketua polis Daerah Serdang, A. A Anbalagan berkata, lelaki itu ditahan di Ampang selepas polis menerima laporan pecah pejabat di Setiawalk Puchong Jaya menyebabkan mangsa mengalami kerugian bernilai anggaran RM10,000.

Menurutnya, polis berjaya menemuikan pelbagai barang berharga yang disyaki hasil daripada kegiatan jenayahnya sejak awal tahun ini.

Antara barang yang telah dirampas oleh anggota polis pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan ‘Robert Solo’ dalam kegiatan kes pecah pejabat di kawasan lembah Klang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 OKTOBER 2022.

Antara barang dirampas ialah pelbagai jenis telefon bimbit berjenama, lapan jenis komputer riba, kamera digital, peralatan komputer, drone, alat permainan video dan lain-lain yang nilai keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM180,000, katanya dalam sidang media kejayaan itu hari ini.

Tambah Anbalagan, modus operandi suspek melakukan pecah pejabat di premis yang pernah ditugaskan untuk memasang CCTV.

Menurut beliau, suspek akan mengenal pasti selok-belok ruangan dalam pejabat dan akan mengambil masa satu atau dua bulan untuk datang semula ke pejabat tersebut untuk melakukan jenayah sama ada pada siang hari ketika cuti umum atau hujung minggu.

Katanya, suspek masuk ke dalam pejabat dengan mengumpil pintu kecemasan bahagian belakang sebelum melarikan semua barang berharga.

“Suspek didapati bergiat aktif di sekitar kawasan Lembah Klang termasuk di Serdang, Petaling Jaya, Brickfield, Sentul dan Shah Alam sejak awal tahun ini,” ujarnya.

Barang rampasan yang diperoleh daripada suspek yang terlibat dalam kegiatan kes pecah pejabat di kawasan Lembah Klang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 OKTOBER 2022.

Anbalagan menambah, dengan kejayaan ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah pejabat membabitkan suspek di sekitar Lembah Klang.

Suspek didapati memiliki lapan rekod jenaya lampau berkaitan pecah rumah iaitu empat kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, tiga kes dibawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan (melupuskan harta curi) dan satu kes di bawah Seksyen 6(1) Akta rumah judi terbuka.

Lelaki ini juga pernah menjalani hukuman penjara selama tujuh hari bagi satu kes di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan pada tahun 2018.

Suspek kini direman selama tujuh sehingga 11 Oktober ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette