Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memulakan tugas di Menara SPR, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2018.
Azhar Azizan Harun. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan anggota Kabinet dan ahli politik yang memegang jawatan kerajaan supaya tidak terlibat dalam aktiviti berkempen semasa waktu bekerja untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan berkata, berkempen pada waktu itu adalah menyalahguna masa bekerja.

“Mereka (anggota Kabinet) perlu mengetahui tentang perbezaan tugas mereka sebagai anggota pentadbir kerajaan dan pemimpin atau anggota parti,” katanya.

Azhar menambah, anggota Kabinet juga tidak boleh menggunakan aset atau kemudahan kerajaan untuk tujuan kempen.

Malah, tegasnya, pengumuman projek pembangunan di Port Dickson atau ikrar jika calon tertentu menang juga boleh menjadi kesalahan pilihan raya dan boleh digunakan sebagai alasan untuk membatalkan pemilihan dalam mana-mana petisyen pilihan raya yang mungkin difailkan. – MalaysiaGazette