Jenazah bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dibawa ke Masjid Saidina Umar Al-Khattab untuk dimandi dan disembahyangkan di kediamannya, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR- Seorang yang secara peribadinya baik, penjawat awam yang bersih dan hebat sehingga mampu menjadikan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines sebuah jenama bertaraf global.

Demikian komen ringkas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin mengenai ketokohan bekas Pengarah Urusan MAS, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Tambah Abdul Kadir, daya kepimpinan dan kebijaksanaan allahyarham menerajui MAS sangat luar biasa kerana tidak ramai anak Melayu ketika itu yang mahu menerajui sebuah organisasi perniagaan yang dimiliki kerajaan.

“Allahyarham berjaya menerajui MAS walaupun MAS ketika itu berbeza dengan MAS sekarang.

“Allahyarham berjaya menjadikan syarikat penerbangan tersebut sebuah jenama yang dikenali dunia dan MAS memang benar-benar hebat ketika allahyarham menjadi pengarah urusannya,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham di sini hari ini.

Abdul Aziz, 87, menghembuskan nafas yang terakhir tengah malam tadi di Hospital Gleanegles, Ampang selepas menderita kanser esofagus.

Ketika ini, jenazah allahyarham sedang dimandikan dan dikafankan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara.

Solat jenazah akan diadakan selepas Zohor dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas itu.-MalaysiaGazette.

ARTIKEL BERKAITAN:

Abdul Aziz bekas Pengarah Urusan MAS meninggal dunia