Daim Zainuddin
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempunyai niat yang baik dalam memperkenalkan inisiatif pendanaan awam hartanah, inovasi kewangan pertama di dunia, tetapi kajian yang mendalam perlu dilaksanakan, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata inisiatif pembiayaan perumahan rakan setara (P2P), yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 baru-baru ini, merupakan sesuatu yang baharu.

“Ia akan menjadi kali pertama sebuah negara mencuba langkah ini untuk membantu merapatkan jurang antara gaji yang rendah dan harga rumah yang tinggi.

“Oleh itu, kita perlu melihat lebih banyak kajian dijalankan secara praktikal untuk melaksanakannya,” katanya kepada pemberita di luar Siri Persidangan Modal Affin-Hwang 2018 di sini hari ini.

Pada awal minggu ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan keyakinan bahawa penyelesaian pendanaan awam hartanah akan membantu memacu pembinaan satu juta rumah dalam tempoh 10 tahun.

Skim itu, yang akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti, akan menawarkan pembeli rumah kali pertama peluang untuk membayar hanya 20 peratus untuk memiliki sebuah rumah manakala baki kos akan ditanggung oleh pelabur melalui rangka kerja pembiayaan P2P.

Mengulas mengenai tawaran kerajaan Jepun untuk menjamin bon Samurai 200 bilion yen (RM7.4 bilion) bertempoh 10 tahun, Daim berkata langkah itu akan membantu Malaysia untuk melunaskan beberapa hutang lama yang diperoleh pada kadar faedah yang tinggi.

— BERNAMA

Rumah crowdfunding bawa hutang berganda?

SC semak butiran Rangka Kerja Pendanaan Ramai Hartanah