Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Melaka memohon Putrajaya memperhalusi semula protokol baharu kuarantin dengan membenarkan ibu bapa petugas di sektor awam yang mempunyai anak kecil positif Covid-19 mengambil cuti tanpa rekod selama lima hari.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, permohonan itu susulan pengumuman Menteri Kesihatan (KKM) Khairy Jamaluddin Khamis lalu mengenai pemansuhan prosedur pengasingan atau kuarantin bagi mereka yang menjadi kontrak rapat kes Covid-19.

Pemansuhan yang menyaksikan protokol baharu pada prosedur operasi standard (SOP) itu yang akan dilaksana minggu depan, bermula dengan sektor perkhidmatan kesihatan awam bagi fasa pertama.

Berdasarkan pekeliling yang telah diedarkan kepada semua petugas kesihatan bertarikh 15 Februari lalu, satu protokol baharu diperkenalkan bagi mereka yang dikesan kontak rapat mereka tidak perlu melakukan pengasingan jika tiada gejala.

“Sehubungan dengan itu saya mohon pihak KKM untuk memasukkan Covid-19 positif di dalam senarai penyakit berjangkit yang melayakkan untuk petugas sektor kesihatan yang perlu menjaga anak kecil yang positif untuk mengambil cuti tanpa rekod selama lima hari.

“Saya percaya tiada siapa yang mahu menjaga kanak-kanak ini sepanjang tempoh kuarantin tersebut dan juga adalah tidak adil jika mereka terpaksa bekerja ataupun terpaksa mengambil cuti tahunan untuk menjaga anak-anak kecil yang positif,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, dengan sedikit perubahan itu, ia sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada semua petugas barisan hadapan yang sudah lama berkorban untuk negara.

“Jika isteri dapat menjaga anak pada lima hari pertama dan suami pula mengambil giliran menjaga lima hari berikutnya, sudah pasti situasi itu lebih memudahkan dan mereka juga tidak berdepan kesulitan untuk kembali bertugas selepas itu.

“Malah saya juga berharap, cadangan sama dapat digunapakai terhadap semua sektor lain yang akan diumumkan kementerian kelak dan bukan sahaja sektor kesihatan,” katanya.

Khamis lalu, Khairy mengumumkan protokol baharu itu menyaksikan mereka yang dikesan kontak rapat kepada positif Covid-19 tidak perlu lagi melakukan pengasingan jika tiada gejala sebaliknya hanya perlu melakukan ujian pada hari-hari tertentu,.

Khairy menambah, kerajaan mungkin akan melaksanakan protokol yang sama kepada orang ramai sekiranya ia boleh dilaksanakan bermula dengan petugas sektor kesihatan bagi fasa pertama.

Sebelum ini, individu yang didapati menjadi kontak rapat dan belum lengkap vaksinasi, termasuk tiada suntikan dos penggalak diarahkan menjalani pengasingan untuk tempoh tujuh hari.

Bagi individu yang sudah menerima suntikan dos penggalak, mereka hanya perlu menjalani pengasingan selama lima hari sekiranya didapati menjadi kontak rapat kes positif Covid-19. – MalaysiaGazette