Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel mendapat bantahan negara-negara Islam.

KUALA LUMPUR – Penggiat seni tanah air tampil menyatakan bantahan berikutan pengiystiharan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya menentang keras sebarang usaha berkenaan selain menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan seluruh masyarakat dunia yang cintakan keamanan.

“Tindakan ini adalah satu provokasi dan konspirasi yang sengaja diwujudkan Zionis untuk menimbulkan konflik yang lebih besar sekali gus menghapuskan terus usaha ke arah keamanan,” kata dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Freddie, sebagai sebuah organisasi masyarakat seni, golongan itu amat berasa terkesan menerima berita ini selain tidak bersetuju dengan tindakan Rumah Putih memindahkan kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Jerusalem.

Karyawan dalam pada itu juga bercadang menyuarakan bantahan dalam masa terdekat sama ada dalam bentuk petisyen ataupun menganjurkan himpunan yang sesuai dalam kalangan penggiat seni.

“Objektif adalah untuk membuka mata dan memberi kesedaran kepada umum.

“Kami tahu himpunam atau bantahan tidak mampu mengubah perkara sebesar ini namun ia mampu memupuk dan mendidik masyarakat isu global dan lebih sensitif selain menghargai kedamaian.

“Dan semesti kami para penggiat seni tergolong dalam kalangan orang yang menyokong penyatuan dan keharmonian serta melihat isu Palestin melangkaui batas agama, sebaliknya ia hanya caturan politik kuasa besar yang mempunyai misi tersendiri sekali gus menjadikan dunia ini makin kacau bilau,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, umat Islam tidak dapat menerima cadangan Amerika mengiktiraf satu daripada tiga kota suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel.

Selain Malaysia, beberapa negara besar seperti Kanada dan Australia juga membantah keputusan berkenaan.

Malah ketua gereja Roman Katolik turut menyuarakan kebimbangan situasi terkini.

Berikutan langkah diambil Trump, pemimpin Hamas Ismail Haniya menggesa Intifada baru bermula esok sambil menyifatkan pengiktirafan itu sebagai “pengisytiharan perang terhadap warga Palestin”. – MalaysiaGazette