Dr Kassim Ahmad . foto Bernama
PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi Syariah hari ini melepaskan dan membebaskan bekas aktivis sosial dan politik Dr Kassim Ahmad daripada tiga pertuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama, pada Mac 2014.

Hakim Syarie Azzeman Omar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa syarie menarik balik pertuduhan terhadap Kassim, dengan alasan pendakwaan akur keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bahawa penahanan dan pendakwaan terhadap bekas aktivis itu adalah tidak sah.

Mahkamah juga memerintahkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dikembalikan kepada penjamin.

Hakim Syarie Azzeman dalam penghakimannya berkata mahkamah memutuskan bahawa Pendakwa Syarie mempunyai kuasa untuk menarik balik pertuduhan kerana ia bukan kuasa eksklusif Ketua Pendakwa Syarie (KPS).

“KPS boleh melantik orang yang layak (Pendakwa Syarie) untuk bertindak dan jalankan mana-mana hak,” katanya yang juga tidak bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada KPS untuk menarik balik pertuduhan.

Pada 27 Mac 2014, Kassim, 84, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

Beliau kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi sivil bagi mendapatkan perisytiharan, antara lain bahawa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah bertindak di luar bidang kuasa di bawah undang-undang agama Islam negeri dan Perlembagaan Persekutuan apabila Jawi mendakwa dan menahannya.

Pada 21 Dis, 2015 Mahkamah Rayuan memutuskan penahanan dan pendakwaan ke atas Kassim kerana dikatakan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama, adalah tidak sah.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penahanan Kassim pada 26 Mac, 2014, di rumahnya di Taman Kulim Perdana, Kulim, Kedah adalah menyalahi undang-undang kerana ia tidak mengikut Enakmen Syariah Kedah, dan beliau tidak tertakluk kepada fatwa Mahkamah Persekutuan memandangkan dia tidak ditangkap di Wilayah Persekutuan.

Pada 7 Mac 2017, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan, Jawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan ketika itu, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang membuat keputusan menyebelahi Kassim.

Terdahulu pada prosiding hari ini, Pendakwa Syarie Mohd Hafiz Abd Hamid memohon penangguhan prosiding ke satu tarikh lain sementara mendapatkan arahan daripada KPS yang jawatan itu masih kosong untuk menarik balik pendakwaan terhadap Kassim.

“Pihak pendakwaan akur dan hormati keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun untuk tarik balik pertuduhan ia terletak di bawah bidang kuasa KPS,” katanya.

Pendakwa Syarie Mohd Amirul Adam Ahmad berkata, walaupun Pandakwa Syarie ada kuasa untuk teruskan bicara tetapi tidak diberi kuasa untuk menamatkan pendakwaan kecuali dengan kebenaran bertulis oleh KPS.

Peguam Syarie Rosli Dahlan yang mewakili Kassim berkata pertuduhan terhadap anak guamnya itu menjadi tidak berasas dan perlu dibatalkan memandangkan perintah Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan tindakan Jawi dan pendakwaan terhadap anak guamnya adalah tidak sah.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan juga telah menolak kebenaran merayu oleh Jawi dan KPS, oleh itu KPS seharusnya patuh terhadap perintah berkenaan.

“Seandainya KPS tidak memohon untuk melaksanakan kuasanya maka perlu bagi mahkamah untuk melaksanakan budi bicara kehakimannya di bawah Seksyen 96(g) Akta Tatacara Jenayah Syariah,” katanya.

Sementara itu, Kassim yang berkerusi roda ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menyatakan rasa syukur dengan keputusan pembebasannya itu.

— BERNAMA