Dr Halimah dalam program ziarah kasih di PDM Desa Mentari 2 menyantuni seorang penduduk yang kematian ahli keluarga.

PETALING JAYA – Calon Pas, Dr Halimah Ali berkata, beliau tidak kekok bersama rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia kerana berpengalaman selama dua penggal sebagai wakil rakyat di DUN Selat Klang sebelum ini.

Justeru, pengalaman itu akan digunakan sepenuhnya untuk menyantuni penduduk dalam DUN Seri Setia kerana mereka adalah rakyat Selangor yang memerlukan perhatian daripada wakil rakyat yang prihatin.

Katanya, jika di DUN Selat Klang beliau memimpin dan bergerak berlandaskan prinsip yang seimbang dari segi pembangunan fizikal dan infrastruktur, begitu juga khidmatnya di tempat baharu.

“Di sini (Seri Setia) peratusan rakyatnya adalah 55 peratus Melayu dan selebihnya Cina dan India. Faktor ini tidak banyak bezanya dengan kawasan lama saya. Ia bukan penghalang untuk saya terus berkhidmat kepada rakyat.

“dari segi pembangunan insan, walaupun seseorang itu kaya, tetapi tidak semestinya mereka boleh bahagia, begitu juga yang miskin tidak semestinya mereka hidup tidak bahagia. Kita ad cara untuk mengatasinya,” katanya kepada media selepas menziarah kematian di Pusat Dalam Mengundi (PDM) Desa Mentari 2 di sini, hari ini.

Menurut Dr Halimah, segala permasalahan yang dihadapi penduduk boleh diatasi sekiranya kerajaan negeri cakna dengan kebajikan rakyat.

Ujarnya, kerajaan negeri mempunyai banyak jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang semuanya berkait rapat dalam misi dan visi kerajaan.

“Ianya bergantung kepada sejauh mana kepekaan dan keprihatinan kepimpinan serta pentadbiran kerajaan negeri itu dengan permasalahan rakyat.

“Sebab itu, rakyat perlu tahu dan sedar, pentingnya suara pembangkang dalam DUN Selangor, kerana kami sebagai pembangkang boleh memainkan peranan mendesak dan menekan kerajaan agar permasalahan dapat diatasi,” katanya.

Ditanya konklusi yang diperolehinya sepanjang tujuh hari berkempen, Dr Halimah memberitahu, banyak perkara perlu dilakukan untuk membantu rakyat dalam kawasan berkenaan.

“Banyak perkara yang harus dibuat di kawasan ini, sama ada diabaikan atau kerajaan negeri terlepas pandang,” katanya. – MalaysiaGazette