Kediaman Anwar Ibrahim di Segambut yang menjadi tumpuan media sejak awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut di sini sekali lagi menjadi tumpuan media susulan pengumumannya yang mahu mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Sejak dari pukul 7.30 pagi lagi pengamal media berkumpul di hadapan rumah Ketua Pembangkang itu bagi melaporkan perkembangan terkini.

Berdasarkan pemantauan MalaysiaGazette, kediaman Ahli Parlimen Port Dickson itu kelihatan sunyi dan hanya ada dua orang pengawal keselamatan di pondok pengawal.

Hanya kira-kira pukul 8.05 minit pagi, sebuah kenderaan jenis Jaguar warna hitam dilihat keluar dari kediaman tersebut, namun kelibat Anwar tidak kelihatan.

Menurut sumber, Anwar dan keluarganya tidak lagi tinggal di kediaman itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada benar atau sebaliknya maklumat yang dimaklumkan oleh sumber berkenaan.

Terdapat sebuah kereta jenis Honda Accord dan sebuah motosikal diparkir di ruang tempat letak kenderaan di kediaman Anwar itu.

Tidak berapa lama kemudian, petugas media didatangi seorang pengawal keselamatan di rumah Anwar yang memberitahu, tidak ada sesiapa di rumah tersebut sejak semalam.

“Tak ada siapa pun di dalam. Datuk Seri Anwar tiada di rumah.

“Saya yang berkawal dari malam tadi tak nampak sesiapa pun di rumah ini. Sekarang saya nak balik,” kata pengawal keselamatan itu yang enggan dikenali.

Selepas menunggu hampir dua setengah jam dengan tidak nampak kelibat sesiapa di rumah itu, media akhirnya membuat keputusan untuk beredar.

Pada 23 September lalu, Anwar mengadakan sidang media untuk mengatakan bahawa beliau mempunyai “majoriti kuat, hebat dan meyakinkan” di Parlimen untuk membentuk pemerintahan baru.

Beliau tidak menyatakan jumlah ahli parlimen yang menyokongnya, sebaliknya memberitahu hanya akan melakukannya setelah mengadakan pertemuan dengan Agong.

Anwar dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong pukul 11 pagi ini di Istana Negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.