Anggota polis dan ATM melakukan kawalan susulan arahan kerajaan yang memberi tempoh 48 jam kepada pihak kedutaan Korea meninggalkan Malaysia di Kedutaan Korea Utara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kedutaan Korea Utara yang terletak di Jalan Batai, Damansara hari ini menjadi tumpuan pengamal media tempatan dan luar negara.

Ia susulan keputusan Pyongyang yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Sejak dari pukul 7 pagi, perkarangan kedutaan itu dikerumuni wartawan dan jurugambar bagi melapor perkembangan dan situasi semasa yang berlaku di sini.

Pengamal media yang menunggu untuk membuat liputan susulan arahan kerajaan yang memberi tempoh 48 jam kepada pihak kedutaan Korea meninggalkan Malaysia di Kedutaan Korea Utara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2021.

Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette di lokasi, beberapa buah kenderaan milik kedutaan itu dilihat keluar masuk dengan setiap daripada mereka adalah orang berlainan.

Turut kelihatan beberapa individu dipercayai petugas kesihatan yang akan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pegawai dan kakitangan di kedutaan berkenaan.

Difahamkan, kesemua pegawai dan kakitangan terbabit perlu menjalani ujian saringan berkenaan terlebih dahulu sebelum mereka dibenar pulang ke Korea Utara.

Kakitangan perubatan kelihatan memasuki Kedutaan Korea Utara di Damansara untuk melakukan ujian saringan kepada kakitangan kedutaan itu sebelum  meninggalkan Malaysia . Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2021.

Kira-kira pukul 10 pagi, beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfileds dan tentera tiba di kedutaan tersebut bagi memantau keadaan di sini.

Tinjauan turut mendapati, kakitangan di kedutaan berkenaan dilihat mengangkat beberapa kotak untuk dimasukkan ke dalam kenderaan yang menunggu di luar.

Semalam, Kerajaan Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara ini bermula Jumaat.

Perkarangan luar Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai Damansara yang dipenuhi dengan deretan kenderaan kakitangan. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2021.

Arahan itu selepas Pyongyang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia ekoran keputusan mahkamah negara ini membenarkan seorang lelaki warga Korea Utara diekstradisikan ke Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Luar memaklumkan, Malaysia berhak untuk bertindak balas terhadap keputusan Korea Utara demi melindungi kedaulatan dan menjaga kepentingan negara.

Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara yang disifatkan sebagai tidak menghormati negara lain. – MalaysiaGazette

Malaysia kesal keputusan Korea Utara putuskan hubungan diplomatik