IMBAS KEMBALI. Bekas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media khas mengenai tangkapan kumpulan pengganas Daesh yang merancang untuk melancarkan operasi pembunuhan di Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada 13 Mei 2019. Foto AFFAN FAUZI

“BERPEGANGLAH dengan perkara yang jelas dalam agama ini dan janganlah kalian menurut hal yang kesamaran dan tidak jelas kedudukan halal haramnya. Lebih membimbangkan adalah ramai dalam kalangan anak muda yang mudah terpengaruh dengan ajakan pengganas ini, jahil tentang bahasa Arab dan mereka tidak memahami al-Quran.”

Petikan ini diambil daripada karya Syeikh Abdullah bin Bayyah, ulama dan ahli fikir terkemuka kelahiran Mauritania yang juga Presiden Forum Mempromosi Keamanan dan Majlis Hukama Muslimin.

Tajuk rencana ini pun berdasarkan tulisan asal Syeikh Abdullah bin Bayyah dalam makalah ringkasnya berjudul Keganasan Bukanlah Jalan Ke Syurga: Respon Terhadap ISIS manakala judul dalam bahasa Inggeris pula berbunyi This Is Not The Path To Paradise: Responses to ISIS.

Meskipun makalah ini ringkas, Syeikh Abdullah Bayyah telah menukilkan jambangan pemikiran berharga, sesuai dan menepati keperluan semasa menjawab isu-isu pokok dalam masyarakat Islam terkini khususnya dalam konteks memerangi kejahatan pengganas, pemikiran dan perbuatan melampau, cenderung kepada kekerasan sehingga mengetepikan hikmah, kebijaksanaan dan tasamuh dalam penyebaran dakwah Islamiah yang syumul, sederhana dan sentiasa mendahulukan kemaslahatan dalam segala tindakan.

“Cabaran hari ini ialah menangani sikap melampau dalam kehidupan. Kewajipan masa kini ialah mempromosi keamanan, membina ketenangan dalaman dan membasmi terorisme serta ekstremisme,” katanya dalam satu ucapan selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa dari kerajaan Malaysia pada 2019.

Ternyata tokoh ulama dan sarjana terkemuka ini gigih mempromosi fahaman kesederhanaan (awsatuha) ketika dunia Islam berdepan dengan gempuran sesetengah masyarakat Islam sendiri yang cenderung kepada kekerasan, sikap melampau, keganasan dan lebih ekstrim tergamak mengkafirkan saudara seIslam, seakidah. Tidakkah ini malapetaka ummah dan fitnah terhadap agama?

Syeikh Abdullah bin Bayyah menegaskan peperangan dan fitnah yang berterusan ini mesti berhenti segera agar kita semua mendapat untung menikmati hidup di dunia ini dan bukannya rugi di dunia serta rugi pula di akhirat. Beliau menjelaskan situasi hari ini adalah satu tempoh paling kritikal dalam sejarah umat Islam berdasarkan kepada pengamatan berikut:

  • Tahap keganasan yang berlaku pada hari ini amat membinasakan dan ia tidak pernah wujud pada zaman lampau. Segala macam jenis senjata pemusnah telah digunakan termasuklah peralatan yang akan mengakibatkan kehancuran.
  • Kehancuran dan ketidaktenteraman berlaku pada skala keluasan yang sangat besar di kalangan negara-negara Arab dan negara-negara Islam.
  • Keganasan yang berlaku berterusan seolah-olah tiada noktah penamat.
  • Aspek pemikiran dan psikologi. Fitnah yang berlaku ini membuktikan golongan pengganas memiliki pemikiran yang sangat terpesong, mereka berfatwa dengan fatwa yang sangat ganjil, terlampau fanatik berpegang dengan pendapat yang sangat tegar dan ekstrim. Setiap orang dapat melihat bagaimana fatwa mengkafirkan, menyesatkan, memfasikkan dan membidaahkan orang tersebar luas di dunia Islam. Dengan fatwa tersebut, tidak wujud lagi penghormatan terhadap nilai jiwa manusia, tiada lagi ketaatan kepada kerajaan yang sedia ada, dan tiada lagi penghormatan terhadap kesatuan saf umat Islam.
  • Semua hal yang di atas telah memburukkan imej Islam pada peringkat antarabangsa. Perbuatan mereka menyebabkan Islam hampir sahaja digelarkan sebagai agama keganasan dan penganutnya bakal dihukum mengikut fasal ketujuh dalam Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Fasal ketujuh ini merupakan bentuk-bentuk tindakan yang boleh dikenakan bersabit ancaman terhadap keamanan, pencabulan terhadap keamanan dan tindakan kekerasan.

Berdasarkan kepada darjah keseriusan ancaman pengganas, pelampau dan eksterimis ini, Syeikh Abdullah bin Bayyah menggesa masyarakat Islam sama ada individu, persatuan, organisasi, parti politik, kerajaan dan negara saling bekerjasama demi kebaikan dan ketakwaan. Kepentingan manusia dan negara harus diutamakan berbanding kepentingan peribadi. Dialog dan kerjasama harus dijadikan strategi utama untuk mencapai hasrat berkenaan.

“Bertitik tolak daripada inilah, sekali lagi saya menyeru para ulama, ahli falsafah, ahli fikir, sasterawan dan pihak media agar memikul mesej ini dan memberi penekanan terhadapnya bagi mewujudkan persekitaran yang aman. Saya juga menyeru agar kalian menyusun strategi dalam mempromosikan keamanan dalam masyarakat Islam,” demikian saranan Syeikh Abdullah bin Bayyah dalam makalah tersebut.

Beliau juga membetulkan salah faham masyarakat terhadap konsep jihad. Menurutnya, jihad bukan kata sinonim bagi peperangan. Bukan semua jihad itu adalah perang dan bukan semua perang itu adalah jihad. Berdasarkan kajian menyeluruh teks agama, ternyata makna jihad merangkumi segala bentuk amalan kebaikan. Ini termasuklah berbakti kepada kedua ibu bapa, taat kepada Allah.

Lalu beliau menyarankan satu bentuk jihad yang tiada sama sekali keraguan terhadapnya.

Jihad berkenaan bakal menempatkan manusia di dalam syurga dan menjauhkan daripada bahang api neraka. Jihad tersebut antaranya ialah berzikir kepada Allah, memakmurkan masjid, berbuat baik kepada manusia dan mengurus bumi dengan baik. Hal itu juga termasuklah melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan pembuatan kerana masyarakat memerlukan sumbangan tenaga serta idea demi kepentingan pembangunan komuniti.

Syeikh Abdullah bin Bayyah meminta agar kajian keagamaan dijalankan secara ilmiah, teliti, menyeluruh dan mendalam bagi memahami teks agama pada takwilan, pentaklilan dan pelaksanaan. Teks-teks agama perlu dinilai secara berhemat, menggembalikan kepelbagaian dalam perbezaan pendapat yang muktabar sesuai tradisi mazhab Islam.

“Kita berada dalam keadaan cemas dan usaha membaikpulih umat ini perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera. Para ulama dan agamawan mesti menghadapi masalah ini dengan berani dan penuh kental memberi penjelasan yang tuntas untuk menyelamatkan umat daripada sengketa peperangan yang tidak berkesudahan,” ujar beliau.

Menurutnya, golongan pemerintah dan pemimpin politik mestilah menghentikan sebarang bentuk penindasan dan kezaliman, manakala organisasi atau pertubuhan di peringkat antarabangsa perlu bersikap lebih adil dan sensitif terhadap situasi yang melanda.

Mutakhir ini kita sudah melihat bunga-bunga kekerasan berputik dan boleh berkembang. Pertempuran di medan politik tidak harus berakhir dengan kekerasan, keganasan, melampau dan ekstrim sama ada dalam bentuk kata-kata ucapan, perbuatan, mengeksploitasi melalui media sosial.

Semua ini mesti dilawan dan disingkirkan. Ia mesti disekat. Indoktrinasi dan suntikan fahaman melampau, radikal, kekerasan tiada tempat di bumi Malaysia yang subur, terbuka kepada kerjasama, tolak ansur, kesederhanaan dan perdamaian. Masyarakat berbilang bangsa, jamak budaya, kepelbagaian agama yang wujud sejak sekian lama harus kekal bersatu, bukan berseteru.

Tulisan Syeikh Abdullah bin Bayyah ini meskipun ringkas, tetapi mengandungi mesej padat agar kita menolak fahaman keganasan dan kekerasan. Makalah beliau bukan setakat penting dibaca, tetapi harus disebarluaskan ke segenap lapisan masyarakat di tanah air kita. Sekian lama, majoriti rakyat memilih hidup dalam suasana aman, damai dan kerukunan dalam semangat saling menghormati. Kita memilih jalan tengah, jalan kesederhanaan, prinsip kesalingan dalam semangat Mazhab Tengah. Ini ramuan kestabilan dan kejayaan Malaysia! Kekerasan, ekstrimisme dan pengganas mesti disingkirkan sepenuhnya. – MalaysiaGazette

Mohd Shah Abdullah

Penulis Mohd. Shah Abdullah adalah bekas wartawan dan pensyarah komunikasi kini merupakan aktivis sosial.