Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail menyifatkan keputusannya keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas sebagai sesuatu yang amat sukar kerana sudah lama berjuang dalam parti itu. - foto BERNAMA

ALOR SETAR – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail menyifatkan keputusannya keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas sebagai sesuatu yang amat sukar kerana sudah lama berjuang dalam parti itu.

Ku Abdul Rahman berkata tindakannya itu juga adalah keputusan peribadi setelah menyedari bahawa adalah lebih baik menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong kerajaan negeri sedia ada iaitu Pakatan Harapan (PH) demi kebajikan rakyat di kawasannya.

“Keputusan ini bukan atas dasar emosi, ia dilakukan secara rasional setelah saya memikirkan secara mendalam dan menilai sendiri UMNO, yang saya lihat kini terpalit dengan pelbagai isu,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata tidak sama sekali melupakan jasa UMNO yang mula-mula meletakkannya sebagai calon, sekaligus mula menjadi wakil rakyat setelah menang Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 sehingga kini.

Ditanya adakah beliau berhasrat menyertai PH, Ku Abdul Rahman yang mula membabitkan diri dengan UMNO sejak 1973 sebagai anggota Kelab UMNO London berkata, tidak mahu gelojoh dalam membuat keputusan, namun tidak menolak kemungkinan akan menyertai mana-mana parti komponen PH.

Ku Abdul Rahman memberitahu keputusan beliau itu sudah dimaklumkan melalui surat kepada Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa Jumaat lepas, sebelum kemudiannya turut memaklumkan kepada Speaker DUN, Datuk Ahmad Kassim hari ini.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya sangat kesal dan terkilan dengan tindakan mengejut Ku Abdul Rahman yang akan memberi kesan kepada parti dan jumlah kerusi pembangkang dalam DUN Kedah.

“UMNO Kedah tidak dapat menghalang hasrat beliau dan menghormati keputusan itu dan UMNO Kedah yakin bahawa rakyat khususnya di DUN Guar Chempedak dapat menilai tindakan beliau dan menjadikan insiden ini sebagai satu iktibar yang tidak wajar diteladani pada masa akan datang.

“UMNO Kedah tetap bersyukur dengan semangat yang ditunjukkan oleh dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) iaitu ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor yang terus setia bersama parti dan konsisten berjuang membawa suara rakyat ke sidang DUN,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

— BERNAMA