Dr. S. Subramaniam.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan menggunakan akta sedia ada untuk mengawal selia perkhidmatan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) supaya ia tidak disalahgunakan.

Ia juga bagi mengelak ia daripada menyusahkan pengguna dalam mendapatkan rawatan kesihatan kata Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah telah diarahkan untuk melihat perkara tersebut secara lebih mendalam.

“Kita sebenarnya sudah mempunyai akta TPA dan akan melihat bagaimana hendak menggunakannya dan juga kaedah lain termasuk dari perundangan atau protokol baharu untuk mengawal pihak TPA.

“Tetapi buat masa sekarang, kementerian tidak mengawal TPA kerana mereka hanya berurusan dengan pengamal perubatan sahaja di klinik.

“Namun saya difahamkan, ramai doktor tidak berpuas hati dalam perkara ini dan saya sudah meminta ketua pengarah kesihatan melihat isu ini untuk tindakan susulan,” katanya selepas merasmikan Clinical Trials Day di Institut Kanser Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai syarikat TPA, iaitu PMCare Sdnd.Bhd. (PMCare) yang didakwa mahu mengenakan caj mahal terhadap perkhidmatan temujanji iaitu RM5,000 dan juga caj pembaharuan terhadap klinik panel yang mendapatkan perkhidmatan PMCare.

Caj temujanji itu dijangka dilaksanakan oleh PMCare bermula 1 April 2018.

Dalam perkara berkaitan, Subramaniam berkata, pihaknya perlu melihat kandungan pada akta sedia ada sama ada memberi kuasa untuk kementeriannya mengawal selia selia TPA supaya ia tidak disalahgunakan perkhidmatannya kepada pengguna.

“Namun apa yang mustahak ialah pengamal perubatan klinik itu mesti mempunyai perpaduan iaitu secara satu suara menolak menolak cadangan TPA sekiranya didapati tidak sesuai.

“Jika secara berkumpulan tolak sebarang cadangan itu, TPA tidak boleh melakukan apa-apa.  Dalam perkara ini, kami sedia berunding dengan pihak berkaitan untuk diselesaikan segera,” tegasnya lagi.

Pada 10 Mei lalu, PMCare didakwa mahu mengenakan yuran temujanji sebanyak RM5,000 berkuatkuasa 1 April 2018 kepada klinik-klinik yang baharu mendaftar dengannya dan yuran tahunan sebanyak RM250 lagi bagi klinik yang berjaya memperbaharui panel tahunan.

Ini bermakna bil rawatan klinik swasta akan dibayar TPA iaitu PMCare sebuah syarikat TPA yang bertindak mengutip bayaran daripada syarikat yang memberikan kemudahan kesihatan dan rawatan klinik-klinik swasta.

Presiden Persatuan Doktor-Doktor Muslim Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail menyifatkan cadangan PMCare itu jelas melanggar undang-undang pengasingan yuran yang dikenakan sekarang iaitu bayaran rundingan ubat tetapi juga bayaran RM2 bagi setiap pesakit yang boleh menaikkan bayaran perkhidmatan dan rawatan kepada pesakit.

Sehubungan itu, Perdim mahu Kementerian Kesihatan membawa sebuah akta baharu yang telah digubal oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta untuk mengawal selia semua TPA berdaftar di bawahnya.- MalaysiaGazette