Datuk Seri Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar dengan kerjasama Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) dan Jabatan Tenaga Kerja akan menganjurkan Karnival Kerjaya, Seranta dan Diplomasi Awam sempena Sayang Kimanis Mobile CTC pada Sabtu ini di Tapak Tamu Bongawan, Sabah.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Program Mobile CTC merupakan salah satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam menyatukan semua perkhidmatan agensi kerajaan dalam satu program bersepadu.

“Karnival ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar kawasan Parlimen Kimanis yang terdiri daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut,” katanya dalam satu kenyataan..

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman merangkap Ahli Parlimen Kimanis dijangka merasmikan karnival tersebut.

Karnival ini akan menghimpunkan kira-kira 25 agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang mana tiga daripadanya adalah agensi berkenderaan yang menyediakan perkhidmatan secara bergerak di seluruh Sabah.

Selain itu kira-kira 50 perkhidmatan, inisiatif, produk dan program agensi kerajaan akan ditawarkan pada karnival tersebut antara ialah perkhidmatan konsular oleh Kementerian Luar, Semakan Wang Tak dituntut dan Jualan Sentuhan Rakyat.

Selain itu, aktiviti pengagihan makanan kepada golongan yang memerlukan turut dilakukan.

Menurut kenyataan itu, karnival tersebut juga akan diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, program pertukaran topi keledar percuma, jualan barangan dapur bersubsidi, pameran kereta klasik dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

“Selain itu pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan artis serta selebriti tempatan seperti Dayang Ceria Megastar, Farahdhiya, Ebi Kornelis dan Aunty Patrin,” katanya. – MalaysiaGazette