Hyundai, Kia Motors berada pada kedudukan kelima dalam jualan kenderaan dunia.

SEOUL –  Hyundai Motor Co. dan Kia Motors Corp. memanggil semula sebanyak 240,000 kenderaan daripada Korea Selatan.

Ia dibuat selepas kementerian pengangkutan di negara itu mengeluarkan arahan wajib pemanggilan semula berikutan kecacatan keselamatan seperti yang dibangkitkan oleh sebuah badan aduan.

Menurut Reuters, kementerian tersebut meminta pendakwa untuk menyiasat sama ada pengeluar kenderaan tersebut cuba melindungi lima kelemahan yang melibatkan sebanyak 12 model termasuk Elantra, Sonata, Santa Fe dan Genesis.

Ini merupakan kali pertama kementerian pengangkutan mengeluarkan arahan wajib pemanggilan semula kenderaan Hyundai dan Kia.

Arahan ini dikeluaran selepas pembuat-pembuat kenderaan tersebut enggan untuk memanggil semula kenderaan mereka secara sukarela dengan alasan kerosakan tersebut tidak menganggu tahap keselamatan pemanduan.

Pada Jumaat, Hyundai dan Kia berkata, mereka menerima arahan pentadbiran tersebut sambil menambah: “ tiada sebarang laporan kecederaan ataupun kemalangan daripada isu tersebut.”

Dalam kenyataannya, syarikat tersebut berkata, keselamatan merupakan keutamaan Hyundai dan Kia.

“Kami membuat keputusan untuk memanggil semula atau melakukan sebarang langkah melindungi pelanggan sejajar dengan arahan pemerintah di seluruh dunia serta akan melakukan prosedur dalaman yang teliti,” katanya.

Rancangan untuk memanggil semula kenderaan itu akan turut menokok kepada 1.5 juta kereta yang Hyundai dan Kia tawarkan untuk dibaiki bulan lepas di Korea Selatan dan Amerika Syarikat akibat enjin tidak boleh dihidupkan, salah satu kerosakan yang dibangkitkan oleh jurutera Hyundai, Kim Hwang-ho.

Hwang-ho juga telah melaporkan keseluruhan 32 kerosakan kepada pihak berkuasa keselamatan kenderaan.-MalaysiaGazette