KUALA LUMPUR – Kadar gaji minimum RM1,500 yang diputuskan kerajaan sememangnya wajar, tetapi belum mencerminkan peningkatan yang sepatutnya.

Jika mengikut formula penetapan gaji minimum oleh Kementerian Sumber Manusia berdasarkan parameter-parameter seperti garis kemiskinan, produktiviti dan elemen indeks harga pengguna, gaji minimum kebangsaan yang patut diumumkan ialah RM1,832 sebulan.

Bagaimanapun, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) maklum kenaikan gaji minimum yang mendadak akan meletakkan beban yang besar bukan sahaja kepada majikan dan kerajaan, tetapi jika tidak dipantau dengan baik akan mendorong pula kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Kitaran kejam ini akhirnya akan menghukum pekerja itu sendiri apabila lebih kenaikan gaji itu tidak dapat dinikmati sepenuhnya.

Menurut beliau, walaupun MTEM menyokong inisiatif gaji minimum ini sebagai langkah positif ke arah mencapai kesaksamaan gaji/upah, namun ia belum mampu memberikan penyelasaian tuntas kepada kerajaan.

Ini kerana, dalam dunia yang semakin mahal dan kompetitif, gaji pekerja tidak boleh berada pada paras ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ lagi, kerana defisit besar tersebut lambat laun akan terbeban juga di bahu kerajaan, tak kiralah siapapun yang memerintah.

Dalam pada itu, pergantungan kepada tenaga asing yang berterusan pada bilangan yang tidak terkawal juga akan mengalirkan lebih banyak pendapatan gaji pekerja-pekerja ini ke negara asal masing-masing.

Katanya, bagi merungkai permasalahan yang seperti tidak berkesudahan ini, MTEM sedang menyediakan satu kertas dasar untuk dibentangkan kepada kerajaan ke arah mewujudkan penyelesaian menang-menang buat majikan dan pekerja.

Konsep “gaji kehidupan wajar” adalah teras kepada cadangan yang bakal diutarakan kerana ia adalah parameter yang lebih menyeluruh bagi membantu kerajaan merealisasikan RMke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang 2030.

Initiatif MTEM yang seterusnya akan dimasukkan ke dalam kertas dasar adalah untuk menjadi pemudah cara kerajaan iaitu ke arah penyatuan yang lebih bermakna sebagai mana yang disarankan dalam RMKe-12 untuk memberi lebih suara dalam mana-mana rundingan penetapan gaji dan upah.

MTEM percaya peningkatan gaji dan peningkatan pendapatan isi rumah sememangnya akan mendorong kepada pemulihan dan peningkatan ekonomi apabila berkembangnya permintaan domestik.

Selain itu, kenaikan gaji juga berupaya menjadi insentif kepada industri untuk berhijrah kepada pendekatan yang kurang intensif buruh, dan lebih berorientasikan kepada kemahiran dan teknologi.

Laporan RMKe-12 turut menyokong usaha untuk meningkatkan keahlian dalam kesatuan sekerja bagi memberikan lebih suara dalam rundingan penetapan gaji.

MTEM berpendapat keahlian dalam kesatuan sekerja di negara kita perlu dipertingkatkan sehingga 40% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding hanya 6% hari ini. – MalaysiaGazette