Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abu Zahar Ujang didakwa tidak lagi mempunyai hak moral untuk menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Ia berikutan kenyataan media enam ahli LPPR bahawa Abu Zahar telah memberikan kenyataan bersifat peribadi terhadap kes melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan enam ahli LPPR itu sangatlah mengejutkan, sekali gus menimbulkan persoalan adakah Abu Zahar telah membuat keputusan ‘membersihkan’ nama Tan Sri Azam Baki secara bersendirian.

Oleh itu, katanya, Abu Zahar kini tiada pilihan kecuali memberi penjelasan penuh secara terbuka berkenaan perkara ini atau meletakkan jawatan serta-merta.

”Malah kenyataan media enam ahli LPPR ini adalah satu tamparan hebat buat kredibiliti Abu Zahar dan adalah satu bentuk ‘undi tidak percaya’ terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bahkan, katanya, seperti yang dijangka pelbagai pihak, penjelasan Abu Zahar dan Azam tempoh hari hanya menimbulkan seribu satu persoalan baharu.

Hari ini, enam anggota LPPR berkata, kenyataan media yang dikeluarkan oleh pengerusinya berhubung kontroversi melibatkan Azam tidak menggambarkan pandangan sebenar mereka.

Dalam kenyataan yang ditandatangani mereka, keenam-enam ahli LPPR itu berkata, kenyataan Abu Zahar dalam sidang media itu, termasuk kenyataan beliau bahawa tiada perbuatan jenayah dilakukan atau berlaku konflik kepentingan dalam kes itu adalah pandangan peribadi pengerusi LPPR itu semata-mata.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Tan Sri Ismail Omar; Datuk Seri Azman Ujang; Datuk Seri Akhbar Satar; Datuk Dr Hamzah Kassim; Datuk David Chua Kok Tee; dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

”Kami sebulat suara ingin menyatakan bahawa anggota Lembaga Pengarah pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepas itu tidak menyatakan pendapat seperti yang dinyatakan Abu Zahar.

”Kami juga ingin menyatakan bahawa komen-komen berkenaan adalah pandangan peribadi Abu Zahar sepenuhnya,” kata mereka. – MalaysiaGazette

 

Kes Azam: Enam ahli Lembaga LPPR dakwa kenyataan Abu Zahar bersifat peribadi