Taman Eko Rimba Bukit Wang antara kawasan rekreasi popular.

JITRA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti 18 lokasi berisiko tinggi untuk berlaku kejadian kepala air di negeri ini, pada musim Monsun Timur Laut ketika ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, antara lokasi paling banyak dijangka berlaku kejadian itu adalah di daerah Yan, Kubang Pasu (Jitra) dan Baling.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai untuk menangguhkan percutian bersama keluarga buat sementara waktu ini yang membabitkan aktiviti perkelahan di kawasan air terjun mahupun sungai untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Di kawasan tasik juga tidak digalakkan untuk datang. Kalau ikutkan banyak lokasi terdedah dengan bencana kepala air ini termasuk Baling, Yan, Langkawi dan di sini (Jitra)…kita akan buat pemantauan secara berkala di lokasi terbabit,” katanya kepada pemberita di kawasan perkelahan Bukit Wang di sini hari ini yang berlaku kejadian kepala air petang semalam.

Bagaimanapun, kejadian pukul 6 petang itu tidak melibatkan kematian sebaliknya tiga keluarga telah berjaya dipindahkan serta dua mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan.

Mengulas lanjut, Mohamadul Ehsan berkata, pihak bomba akan memantau setiap dua jam sekali di kawasan yang dikenal pasti berisiko untuk berlakunya kejadian kepala air itu.

“Jika hujan lebat berterusan sememangnya dijangka berlaku kejadian kepala air ini di kawasan air terjun dan sungai,” katanya. – MalaysiaGazette