majoriti besar
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Dengan kelulusan usul percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini, buat kali pertama sejak 2008, kerajaan mempunyai majoriti besar dua pertiga.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, majoriti besar itu penting untuk memastikan negara mencapai kestabilan agar tiada lagi insiden pertukaran kerajaan beberapa kali berlaku seperti sebelum ini.

Menurut beliau, majoriti dua pertiga juga mustahak bagi memastikan kestabilan yang diperolehi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memacu ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

“Majoriti dua pertiga juga amat penting bagi memastikan kestabilan yang diperolehi mampu memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada pelabur untuk kembali memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama sekaligus merancakkan dan memulihkan kembali pertumbuhan ekonomi negara.

“Justeru, kita harus titik noktahkan segera segala perdebatan mengenai keabsahan kerajaan ini dan kembali memberikan tumpuan dan keutamaan kepada agenda membantu rakyat dan memakmurkan negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan usul percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri melalui undian suara.

Asyraf Wajdi menambah, istilah Kerajaan Perpaduan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia hanyalah kata nama yang dipilih bagi menggambarkan gabungan parti-parti utama yang membentuk majoriti besar dua pertiga yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sarawak (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Ahli-ahli Parlimen lain.

“Walaupun kata nama Kerajaan Perpaduan Malaysia ini tidak menggambarkan falsafah unity goverment dalam istilah sains politik kerana masih wujud Ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN), tiada salahnya kata nama ini tetap digunakan sebagai manifestasi gabungan parti-parti politik yang secara kolektifnya mewakili hampir 70 peratus undi popular rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan majoriti dua pertiga Ahli-ahli Parlimen yang mendukungnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.