KUALA LUMPUR – Tiada wang atau dana RM18 bilion hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ‘dirompak’ kerana kutipan wang cukai berkenaan dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun berkata ‘kehilangan’ dana berkenaan dipercayai berpunca daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri yang telah membelanjakannya untuk menampung perbelanjaan bulanan kerajaan.

“Kerajaan PH mungkin sudah membelanjakan wang dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan yang sepatutnya digunakan untuk disalurkan kepada akaun amanah tuntutan GST bagi menampung perbelanjaan bulanan kerajaan.

“Akibatnya, kerajaan PH mengalami kesukaran untuk membayar tuntutan-tuntutan GST yang begitu banyak dan dibuat sekaligus dan memerlukan seseorang untuk dipersalahkan.

“Sebagaimana biasa, kesalahan itu dituding ke arah Kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun ia adalah kesilapan kerajaan PH sendiri,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Rabu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa RM18 bilion wang tuntutan GST yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga, ‘dirompak’ oleh Kerajaan BN.

Guan Eng ketika membentangkan RUU GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST mulai tahun depan.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion.

Bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Najib juga tidak menolak kemungkinan dakwaan RM18 bilion wang GST yang kononnya dirompak BN dimasukkan ke dalam hutang negara berjumlah RM1 trilion sebagai alasan untuk tidak melaksanakan pelbagai janji manifesto mereka.

“Alasan ini membolehkan Kerajaan PH membatal atau mengurangkan bantuan kepada rakyat atau membayar tuntutan GST kepada pemilik perniagaan,” katanya.

Katanya lagi, memandangkan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sudah dibuat dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membuat siasatan terhadap dakwaan itu, beliau bersedia bekerjasama bagi membantu siasatan.

“Saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya sebagai bekas Menteri Kewangan agar kebenaran dapat didedahkan.

“Jika dakwaan ini didapati tidak benar, maka Lim Guan Eng telah memperdaya Parlimen ketika beliau membuat tuduhan serius itu.

“Apabila itu berlaku, saya amat berharap Speaker Dewan Rakyat tidak lagi melindungi Lim Guan Eng kerana dewan yang mulia itu bukanlah tempat atau ruang bagi membuat dakwaan tidak berasas dan tuduhan yang bermotifkan politik,” katanya. – MalaysiaGazette