Video terbaharu Lokman menyindir beberapa Ahli MT UMNO yang diifatkan sebagai pembawa wabak "keralavirus".

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam muncul dengan klik video terbaharu, menyifatkan beberapa pemimpin tertinggi parti itu sebagai orang yang terkena penyakit “Keralavirus”.

Secara berterus terang, beliau menamakan pemimpin berkenaan sebagai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa; dan Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau juga menamakan beberapa MT lain sebagai turut terkena penyakit “Keralavirus” iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Razlan Rafii.

“Saya nak beritahu hari ini ada penemuan terkini virus yang lebih bahaya dari koronavirus, iaitu Keralavirus.

“Keralavirus ini jauh lebih berbahaya dan hari ini virus ini sudah menjangkiti ahli-ahli MT UMNO. Orang pertama dikenal pasti membawa wabak ini ialah Hishammuddin, dan kemudian telah dijangkiti oleh Presiden UMNO (Ahmad Zahid), kemudian dijangkiti pula oleh Setiausaha Agung UMNO (Annuar) dan Ketua Penerangan UMNO (Shamsul Anuar).

“Hari ini juga ada beberapa ahli MT sudah menjadi pembawa kepada koronavirus seperti Azalina, Razlan dan beberapa orang yang lain,” katanya menerusi rakaman video terbaharunya, hari ini.

Beliau merakamkan video itu berlatar belakangkan Bahagian Kecemasan Hospital Ampang Puteri di sini, kononnya merujuk kepada “pesakit” yang terkena jangkitan “Keralavirus”.

Difahamkan, “Keralavirus” merujuk kepada tempat asal ahli keluarga Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang pernah digelar “Kerala” oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Semalam, Lokman mendedahkan rakaman suara Ahmad Zahid dalam mesyuarat MT yang bercakap mengenai cadangan Muafakat Nasional (MN) untuk bersama Dr. Mahathir membentuk kerajaan perpaduan tanpa DAP.

Beliau yang menentang keras cadangan itu menyifatkan pemimpin atasan yang berusaha ke arah itu sebagai pembawa penyakit “Keralavirus”.

Menurut Lokman Adam, beliau merasa dukacita “koronavirus” itu bukan hanya menjangkiti mereka yang selama ini mendapat saluran pernafasan dari Hishammuddin, tetapi rakannya juga ada yang dijangkiti.

“Saya amat sedih dan dukacita, nak beritau bahawa hari ini ada antara kawan yang rapat dengan kita (saya) sudah pun dijangkiti “koronavirus”.

“Saya minta kepada ahli-ahli MT yang sudah dijangkiti ini termasuk Hishammuddin buatlah langkah terhormat. Kalau mereka ini sudah tidak boleh hendak pisahkan diri dari “koronavirus” ini, selamatkan adik beradik kita dalam MT yang lain, keluarlah secara baik dari UMNO, tinggalkan UMNO, joinlah ibu kepada “koronavirus” itu (PPBM),” tegasnya.

Namun, katanya, bagi ahli MT yang belum terkena “koronavirus”, tolong pastikan (mesyuarat MT) pada 7 Februari ini, anda membuat keputusan menolak sebarang kerjasama dengan Dr. Mahathir.

Ujar beliau, jika mereka gagal berbuat demikian, maka jangan salahkan ahli kalau akhirnya akan menolak mereka semua. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Kalau hidup sudah disumpah rakyat, apapun nak buat akan tetap sesat lagi menyesatkan.

    Sokong perompak sesat.
    Menipu sesat.
    Fitnah sesat.
    Provokasi sesat.

  2. Yang buat aku menyampah dengan orang UMNO ni, tu lah, terlalu banyak talibarut dalaman.
    Aku Istiqomah dalam parti walaupun dikecam oleh PN. Namun kerana agama dan bangsa aku beralah dalam banyak hal walaupun dikecam hebat, agar bangsa aku dapat bersatu.
    Tetapi orang seperti Lokman ni lah merupakan talibarut dan pencetus kepada berlakunya pergaduhan sesama Melayu.

Comments are closed.