Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai bercakap pada sidang media mengenai sindiket perjudian dalam talian, curi motosikal dan macau scam di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 15 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang kerani kehilangan wang simpanannya berjumlah RM112,000 selepas terpedaya dengan panggilan sindiket Macau yang menyamar sebagai ‘pegawai Bank Negara’.

Mangsa berusia 40an itu yang terpedaya dengan pujukan sindiket itu mendedahkan maklumat butiran dan akaun bank peribadinya,

Dia hanya menyedari tertipu seleps mendapati wangnya hilang daripada akaun pada keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, insiden itu menimpa mangsa pada pada 2 Januari lalu semasa mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mengenai penggunaan kad kredit.

Katanya, lelaki yang menghubunginya memaklumkan kononnya terdapat penggunaan dan transaksi kad kradit yang didaftarkan atas namanya dan sebelum mangsa menjelas dan menafikan dakwaan itu panggilan itu disambungkan kepada ‘pegawai Bank Negara’.

“Suspek yang menyamar sebagai ‘pegawai bank negara’ itu berjaya meyakinkan mangsa tentang penyalahgunaan namanya dalam urusan kad kredit, mendorong wanita berkenaan berkongsi dan mendedahkan segala butiran peribadi serta maklumat akaun bank simpanannya .

“Sehari selepas itu, mangsa menyedari dirinya ditipu lelaki yang menyamar sebagai ‘pegawai Bank Negara apabila sejumlah wang yang disimpan dalam akaun banknya hilang dan didapati dipindahkan ke akaun pihak ketiga,” kata beliau dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pagi ini.

Tambah beliau, sejak Januari hingga Disember 2020 polis telah menerima sebanyak 193 laporan polis berhubung panggilan palsu Macau Scam daripada mangsa.

Semua laporan itu melibatkan wang kerugian sebanyak RM6 juta.

“Namun kita berjaya menyelesaikan 30 peratus kes manakala selebihnya masih dalam siasatan polis.

“Saranan polis kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati apabila menerima panggilan seumpama ini dan tidak cepat panik atau beremosi dan melayan panggilan palsu itu.

“Sila bertenang agar tidak menjadi mangsa penipuan panggilan palsu Macau Scam,” tegasnya.