Program Pramilik Volvo SELEKT Mutiara Damansara

PETALING JAYA – Nikmati pengalaman mewah gaya Scandinavia menerusi tawaran terbaharu daripada Ingress Swede Automobile yang kini memperkenalkan program kenderaan pra-milik Volvo SELEKT.

Dengan menampilkan pelbagai kenderaan Volvo terpakai berkualiti tinggi yang melalui ujian dan pemeriksaan menyeluruh, program ini telah menetapkan standard kecemerlangan dan keselamatan dalam pasaran kereta mewah terpakai di Malaysia.

Dengan permintaan untuk kereta mewah yang semakin meningkat, Ingress Swede Automobile akan memenuhi keperluan kumpulan pelanggan automotif yang mencari gaya dan kualiti ikonik Scandinavia yang sering dikaitkan dengan kereta Volvo.

Azeman Mohamed Akram (kanan sekali) Program Pramilik Volvo SELEKT Mutiara Damansara di bilik pameran terbaharu yang kelima dibuka di Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam.

Menerusi Volvo SELEKT, pelanggan juga dijanjikan perkhidmatan yang profesional dan ketenangan dalam setiap pembelian.

Menurut Rabian Ab Rahman, Pengarah Urusan Ingress Swede Automobile, sebagai pengedar sah untuk Volvo Car Malaysia, pihaknya sentiasa berusaha meneroka peluang baharu agar terus berinovasi dalam industri automotif.

“Kami percaya kejayaan yang dicapai bergantung pada keupayaan kami untuk berada selangkah ke hadapan dan memahami keperluan pelanggan dan kerana itulah kami amat berbesar hati melancarkan program kenderaan pramilik Volvo SELEKT yang merupakan tambahan mantap kepada portfolio kami yang sedia ada, tetapi juga seiring dengan visi jangka panjang kami.

“Pelancaran program ini merupakan langkah strategik yang membolehkan kami memanfaatkan pasaran yang sedang berkembang pesat, sekaligus turut mengukuhkan kerjasama yang terjalin dengan Volvo Car Malaysia, menyokong matlamat kelestarian kami serta memperkukuhkan reputasi kami sebagai pembekal utama kenderaan premium dan mewah di Malaysia,’ katanya dalam pelancaran cawangan bilik pameran Volvo baharu yang kelima negara di Mutiara Damasara di sini semalam.

Setiap kenderaan Volvo terpakai di bawah program SELEKT menjalani proses ujian dan pemeriksaan menyeluruh 125 mata untuk memastikan ia memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan tertinggi.

Mohd Azeman Mohamed Akram

Dalam pada itu Penyelia Pengedar Utama Ingress Swede Automobile Mohd Azeman Mohamaed Akram berkata, setiap kenderaan turut dilengkapi dengan jaminan minimum selama 12 bulan, perkhidmatan bantuan tepi jalan 24 jam.

Program berkenaan membabitkan kesemua enam model kenderaan Volvo membabitkan pelbagai varian yang bebas kemalangan dan banjir serta diluluskan dengan jaminan kurang dari lima tahun atau 100,000 km jarak perbatuan serrta pelbagai pilihan pembiayaan yang sesuai dengan keperluan dan bajet pelanggan.

Ujarnya, di Ingress Swede Automobile, beberapa kelebihan istimewa yang ditawarkan oleh program Volvo SELEKT iaitu semua kenderaan di bawah program Volvo SELEKT diubahsuai dengan teliti menggunakan hanya bahagian dan aksesori tulen Volvo semasa proses pemulihan dengan peningkatan perisian terkini memastikan mereka berada dalam keadaan sempurna dan sedia untuk dinikmati oleh pemilik baru.

Selain itu kata beliau, semua kenderaan di bawah program SELEKT akan menjalani pengesahan rekod jarak perjalanan dan sejarah penyelenggaraan untuk memastikan kualiti terbaik kenderaan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Selain itu, beliau turut mengakui bahawa sehingga hari ini Volvo muncul sebagai satu-satunya kenderaan yang mempunyai nilai jualan semula yang tinggi dalam pasaran berbanding kereta berjenama yang lain.

Lebih enam model kereta Volvo terpakai terpilih dalam Program Volvo SELEKT yang dilancarkan di Bilik Pameran terbaharu Mutiara Damansara Petaling Jaya semalam.

“Dengan menawarkan kenderaan Volvo terpakai yang telah melalui ujian dan pemeriksaan menyeluruh, kami menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar,” ujarnya. – MalaysiaGazette