Malaysia belum sesuai melaksanakan kerja empat hari seminggu. Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (Pengilang) berpendapat cadangan empat hari bekerja dalam seminggu sebagai idea yang amat tidak bernas buat masa sekarang.

Ini kerana majoriti tahap kerja pekerja, sama ada di sektor awam mahupun swasta masih belum berada di tahap yang efisien dan ini boleh mengurangkan hasil atau pendapatan sesebuah agensi atau syarikat.

Malah, bagi majoriti ahli Pengilang merupakan pemilik kilang, kekurangan hari bekerja mampu meletakkan risiko kilang mereka berhadapan dengan kekurangan pendapatan, atau lebih teruk lagi, terpaksa tutup perniagaan mereka.

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, Malaysia sendiri merupakan salah satu negara yang paling banyak cuti am dan majikan terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana sudah perlu mengimbangi produktiviti syarikat dengan hari-hari cuti ini.

Pengurangan hari kerja mingguan pasti menambahkan lagi beban terhadap majikan.

Menurutnya, sejak pandemik Covid-19, banyak kelonggaran diberikan majikan kepada pekerja, antaranya ialah ‘work from home‘, dan waktu kerja fleksibel.

Kelonggaran ini sudah mencerminkan keprihatinan majikan terhadap pekerja bawah jagaan mereka.

Bahkan Kesatuan Pekerja-Pekerja di Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga menganggap kajian untuk empat hari bekerja ini sama sekali tidak relevan dan penekanan harus diberikan kepada kebajikan penjawat awam yang belum terlaksana.

Kaji selidik daripada Quatrils juga mendapati 62 peratus pekerja lebih gemar dengan fleksibiliti bekerja berbanding empat hari bekerja.

Pengilang juga telah menjalankan kaji selidik dan didapati majoriti daripada ahli menolak idea pengurangan minggu hari bekerja untuk menjadi lebih singkat.

Oleh itu, Pengilang berharap kerajaan mengkaji secara teliti idea ini dan apakah impak pengurangan hari bekerja ini secara terus kepada ekonomi Malaysia. – MalaysiaGazette