Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. foto NOOREEZA HASHIM, 23 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Gesaan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menyegerakan menyegerakan pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi memastikan hala tuju yang jelas dalam sektor pertahanan negara, dibidas Mohamad Sabu.

Beliau berkata, KPP akan dibentangkan pada sesi parlimen ini dan tidak akan ditangguhkan.

“Sesi ini akan dibentangkan. Sesi ini. Sabarlah. Kertas putih bukan macam karangan biasa, tidak ditangguhkan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Hishamuddin berkata, penangguhan pembentangan KPP beberapa kali menyebabkan hala tuju Kementerian Pertahanan tidak jelas sekali gus menyukarkan pegawai melaksanakan tugas.

Bagi beliau, jumlah peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 bagi kementerian berkenaan tidak bermakna tanpa hala tuju menterinya.

Malah, peruntukan RM15.6 bilion dalam Belanjawan 2020 bagi Kementerian Pertahanan didakwa tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur dalam memartabatkan Angkatan Tentera Malaysia.

“Tahun lalu, Kementerian Pertahanan dibekalkan dengan peruntukan hampir sama namun tiada satu pun inisiatif besar dan perancangan strategik yang kementerian laksanakan.

“Apabila ditanya apa perancangan kementerian, jawapan mereka mudah, tunggu KPP. Masalahnya setakat ini sudah enam kali menteri berjanji hendak bentangkan KPP,” kata Hishammuddin.

Mengulas mengenai Mohamad berkata, Hishammuddin seharusnya menyemak maklumat yang diperoleh beliau sebelum membuat apa-apa kenyataan.

“Tidak (ditangguhkan), maklumat kena betul. Akan dibentangkan penggal ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengenai kritikan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Ronnie Liu yang mempertikaikan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mohamad Sabu berkata, sesiapa sahaja boleh membuat kenyataan serta pendapat peribadi mengenai Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, apa-apa keputusan akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan PH.

“Sebaran penyelesaian dalam PH. Sesiapa pun boleh keluarkan pendapat individu. PHn akan tentukan hala tuju,” katanya lagi.

Semalam, Ronnie dalam tulisannya yang bertajuk Mahathir: The Paper Tiger mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteridan parti yang diterajuinya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, DAP, PKR, Amanah, Warisan dan UPKO yang secara keseluruhannya mempunyai 113 kerusi parlimen cukup untuk membentuk kerajaan tanpa Bersatu. -MalaysiaGazette