Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang menunggu keputusan analisis sampel makanan yang didakwa menjadi punca seorang wanita berusia 54 tahun keracunan hingga meninggal dunia, Selasa lepas.

Pengarah JKNT Datuk Kasemani Embong berkata pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman telah menerima notifikasi kes keracunan makanan itu pada hari sama dan terus bertindak menjalankan siasatan dengan mengambil beberapa sampel makanan daripada peniaga terlibat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman.

“PKD Kemaman telah menerima notifikasi kes keracunan makanan seorang wanita yang mengalami gejala keracunan makanan akibat memakan makanan yang dibeli di R&R Perasing. Kes mula mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah selepas memakan makanan dipercayai telah basi.

“Susulan pemakluman itu, beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan. Pihak JKNT masih menunggu keputusan sampel-sampel ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keputusan analisis berkenaan akan diperoleh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Kasemani berkata pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan arahan pembetulan telah dikeluarkan kepada pemilik serta pengendali makanan di premis berkenaan.

Beliau berkata JKNT memandang serius berkaitan kes keracunan makanan dan mengarahkan pengendali makanan supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan atau minuman yang dijual kepada orang ramai.

“Selain itu orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa sebelum makan untuk mengelak makan makanan yang telah basi,” katanya.

Semalam tular menerusi media sosial berkaitan seorang wanita didakwa meninggal dunia selepas makan roti sandwic yang dibeli di R&R Perasing.

— BERNAMA