Pusat Zakat P. Pinang

PULAU PINANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri hari ini menahan tiga lagi pegawai Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi membantu siasatan kes penyelewengan membabitkan agensi terbabit.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Abd. Aziz Aban berkata, tiga pegawai lelaki berusia antara 33 hingga 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang tadi ketika hadir di ibu pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

“Selain itu, SPRM turut memanggil tiga pegawai ZPP bersama dua lagi individu lain iaitu seorang ahli perniagaan dan seorang kontraktor bagi dirakam percakapan berhubung siasatan kes tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu kira-kira pukul 2 petang tadi, SPRM mendapat perintah sambung reman terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan seorang pegawai ZPP selama empat hari lagi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mereka merupakan sebahagian daripada 12 individu yang ditahan SPRM negeri minggu lalu berikutan dakwaan penyelewengan wang zakat untuk projek pembangunan masyarakat di agensi berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, 10 individu termasuk dua pegawai ZPP dan lapan kontraktor sudah dibebaskan secara berperingkat sejak tiga hari lalu dengan jaminan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan (b) serta Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimun lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan. – MalaysiaGazette