Gambar hiasan

ISU kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa sering menjadi obrolan semenjak proses pengajian dalam talian dilaksanakan. Ini disebabkan berlakunya tekanan elampau, krisis kewangan, faktor persekitaran, masalah keluarga dan banyak lagi. Lebih sepesifiknya adalah seperti bebanan tugasan yang melampau, kurang aktiviti sosial, tingkat fasiliti yang rendah dan bermacam-macam lagi.

Bahkan baru-baru ini juga dilaporkan, beberapa orang mahasiswa dari sebuah institusi pengajian tinggi dalam negara telah terkorban akibat tekanan melampau dalam menghadapi kuliah secara dalam talian, menyiapkan tugasan dan menghadapi peperiksaan akhir. Ditambah lagi sewaktu pra Perintah Kawalan Pergerakan yang telah banyak menatijahkan dampak negatif terhadap mahasiswa dan keluarga sewaktu menjalani pengajian di rumah.

Secara mudahnya, penyakit mental boleh didefinisikan sebagai keadaan kesihatan yang
terganggu disebabkan oleh perubahan emosi, tindakan atau pemikiran. Situasi berkenaan
berkemungkinan boleh terjadi hasil gabungan ketiga-tiga indikator tersebut.  Isu kesihatan mental ini sudah tidak boleh dipandang remeh lagi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2019 telah mengeluarkan laporan yang menyatakan bahawa penyakit mental adalah antara lima penyakit yang boleh menyebabkan kehilangan upaya di seluruh dunia.

Disebabkan inilah, isu kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa harus dicakna dan seharusnya memerlukan kepada tindakan yang berkesan dengan kadar segera. Malangnya, ramai dalam kalangan ‘pesakit’ menganggap penyakit berkenaan adalah terlalu klise dan lebih menyayatkan lagi apabila insan di sekeliling termasuk anggota keluarga juga menyisihkan ahli keluarga yang berdepan dengan permasalahan ini disebabkan berasa malu.

Walhal, dengan melakukan diagnosis dan mempunyai pengetahuan yang luas bagi
menguruskannya, mangsa boleh kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala. Bahkan mampu untuk menguruskan kesihatan mental berkenaan dengan lebih baik dan efektif
Dalam pada itu, secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada 3 keadaan. Antaranya adalah neurosis, psikosis dan kecelaruan personaliti.

Neurosis adalah keadaan  pesakit mengalami perubahan dan gangguan pada perasaan atau pemikiran atau kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan. Mereka mengalami perubahan ketara dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku. Antara contoh neurosis adalah kemurungan, kebimbangan dan selainnya.

Seterusnya, psikosis pula adalah keadaan dimana pesakit akan menghadapi simptom yang tertentu. Pesakit akan keliru dengan mengalami suara-suara ghaib yang berkomunikasi dengan mereka – ini dikenali sebagai halusinasi. Ini menyebabkan pesakit akan didapati bercakap sendiri, merapu, ketawa sendirian dan lain-lain lagi. Antara contoh pesakit psikosis juga adalah mengalami delusi (Skizofrenia) dan dwi kutub.

Keadaan yang ketiga pula pesakit mengalami kecelaruan personaliti. Secara asasnya pesakit akan menghadapi kecacatan personaliti dalam berdepan dengan orang di sekeliling. Pesakit akan cenderung menukar karakter sewaktu hubungan interpersonal.
Sememangnya antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pesakit adalah disebabkan oleh persekitaran atau sistem sokongan sekeliling yang negatif.

Masyarakat di negara ini hakikatnya masih lagi tertanam dengan stigma negatif dan mendiskriminasikan para pesakit mental. Ramai dalam kalangan para pesakit mental mengutarakan bahawa mereka dilayan buruk oleh ahli keluarga, majikan dan sahabat handai bahkan juga di media sosial secara mental dan fizikal akibat daripada keadaan yang tidak normal.

Keadaan ini menampakkan bahawa para pesakit kurang mendapat sokongan secara mental dan fizikal daripada sistem sokongan yang sepatutnya bertindak sebagai penampan permasalahan. Lantaran daripada dampak negatif sedemikian, semua pihak haruslah mengambil cakna terhadap isu kesihatan mental terutamanya yang berlaku dalam kalangan mahasiswa..

Di peringkat individu, seseorang seharusnya sedar terhadap simptom dan perubahan yang berlaku kepada diri sendiri atau kepada orang di sekeliling. Di peringkat anggota masyarakat dan keluarga pula, seharusnya lebih sensitif terhadap perubahan dan menyokong para pesakit mental ini. Manakala di peringkat institusi pengajian tinggi, isu ini seharusnya menjadi tamparan hebat bagi mengkaji semula sistem taksiran pengkuliahan semasa (status quo) yang kadang-kadang memberikan tekanan melampau kepada mahasiswa dalam era pandemik ini.

Wan Muhammad Zuhir Bin Ghazali,
Setiausaha Kewangan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya