Saksi, Dr Abdul Aziz ketika hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 DISEMBER 2019

SHAH ALAM,- Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa laporan bedah siasat ke atas jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, dimaklumkan kepada abang mangsa oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sendiri melalui aplikasi WhatsApp.

Abang kepada Nazrin yang merupakan saksi pendakwaan ke-18, Dr Abdul Aziz Hassan, 59, berkata, laporan bedah siasat itu diterima melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar Noor Hisham kepadanya pada 18 Jun 2018.

Katanya, laporan bedah siasat itu diterima oleh Dr Noor Hisham daripada seorang doktor bernama Dr Siew yang melakukan bedah siasat terhadap adiknya, dan Dr Noor Hisham kemudian memajukan laporan berkenaan kepadanya sebelum beliau (Dr Abdul Aziz) menghantarnya kepada tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44.

Melalui isi kandungan WhatsApp antara Dr Abdul Aziz dengan Samirah yang dibacakan peguam bela tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Dr Abdul Aziz memaklumkan kepada Samirah, hasil bedah siasat yang selesai pukul 7.30 malam itu mendapati letupan telefon bimbit menyebabkan kebakaran sehingga mengorbankan Nazrin

“Samirah bertanya, adakah Nazrin dalam kesakitan Kamu membalas tidak. Dia tidur lena/tidak sedar,” katanya ketika membacakan isi kandungan WhatsApp itu di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman pada perbicaraan hari ini.

Terdahulu, Muhammad Shafee mengemukakan tiga dokumen iaitu salinan perbualan melalui WhatsApp antara anak guamnya itu, selain perbualan antara Dr Abdul Aziz dengan rakan Nazrin, Shahrul Idzwan.

Dalam prosiding sama, Dr Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai nombor telefon Samirah hinggalah pada hari kejadian.

Samirah, isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette