Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara bekas Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan (kiri) dengan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OKTOBER 2020

SERDANG – “Ini kali pertama saya diberi amanat sebagai Ketua Polis Daerah iaitu Serdang, dan saya sedar tugas baharu yang menanti saya ini sangat mencabar”.

Demikian reaksi Asisten Komisioner Razali Abu Samah yang dilantik sebagai Ketua Polis Serdang menggantikan ACP Ismadi Borhan dalam majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang yang berlangsung hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Noor Azam Jamaluddin.

Di sebalik tugas mencabar, Razali yakin mampu menggalas amanat besar itu dengan cemerlang seperti diharapkan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah bercakap kepada media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OKTOBER 2020

Bercakap dalam sidang media selepas majlis tersebut, beliau berkata, kerjasama mantap dalam kalangan warga PDRM dan masyarakat amat penting untuk membolehkan beliau mencapai misi memerangi jenayah dan menjamin keselematan rakyat.

Menurut Razali, 57, pengalaman berkhidmat di beberapa cawangan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur akan membantu memberi input  untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan bekas penyandangnya ACP Ismadi Borhan.

Sementara itu,  Ismadi pula berkata, beliau berpuas berpuas hati dengan visi dan misi yang dilaksanakan sepanjang dua tahun lima bulan mengepalai tugas di IPD Serdang sejak April 2018.

Katanya, norma baharu yang dicetuskan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu sehingga menguruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan  cabaran dan menguji kekentalan mental serta lebih 1,000 anggota pasukan yang bertugas siang malam walaupun kepenatan.

Bekas Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan bercakap kepada media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OKTOBER 2020

“Dalam tempoh perkhidmatan saya, hanya diberi kekuatan pegawai dan anggota 1,000 orang sahaja yang sememangnya tidak cukup. Bamun di bawah kepimpinan dan restu Ketua Polis Selangor kita, dapat ditambah lebih dari 1,000 orang dan dapat jalankan tugasan dengan cemerlang,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa terharu kerana sepanjang pelaksanaan PKP masyarakat sentiasa memberikan kerjasama sekaligus memudahkan tugas pasukannya menjalankan tugas menangani jenayah serta menjaga kesejahteraan penduduk di situ.

Beliau turut berkongsi pengalaman menerima banyak laporan mengenai pelanggaran Prosedur Operasi Standard  sehingga IPD Serdang dikenali kerana paling banyak mengeluarkan kompain melanggar SOP.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian IPD Serdang di bawah tanggungjawab saya dan berhijrah ke tugas baharu dengan gembira Penolong Pengarah Kepolisan Am Bahagian Pengurusan Dasar/Sumber Jawatan pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti,” katanya.

Ketua polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaluddin dalam ucapan penghargaan kepada Ismadi menyiftkan sepanjang perkhidmatannya pegawai kanan yang bakal mengambil alih jawatan yang pernah disandang Razali di Bukit Aman itu berjaya menurunkan kadar jenayah di daerah tersebut.

“Dari Januari hingga September 2020, berjaya merekodkan hanya 993 kes penurunan jenayah berbanding 1,309 kes pada tahun sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 306 kes atau 24.1 peratus selain berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah pecah rumah, curi kabel dan curi motosikal,”ujarnya.- MalaysiaGazette