Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed (kanan) menyerahkan Anugerah Penghargaan Anti Rasuah kepada adik mendiang Datuk Anthony Kevin Morais, Datuk Richard Morais (kiri) sempena Majlis Pelancaran Perdana International Anti-Corruption Champion Fund (PIACCF) di Hotel Marriott Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 11 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, mendiang Datuk Anthony Kevin Morais dinobatkan sebagai penerima Anugerah Juara Anti Rasuah Antarabangsa Perdana (PIACCF) 2020.

Anugerah itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada adik mendiang, Charles Suresh Morais.

“Kevin Morais merupakan seorang timbalan pendakwa raya yang sangat dihormati.

“Pendakwa Malaysia ini dibunuh pada 2015 semasa menyiasat skandal rasuah,” katanya berucap ketika merasmikan Dana Juara Anti Rasuah Antarabangsa Perdana 2020 di Marriot Hotel Putrajaya, di sini, malam ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Hasmah Mohamad Ali; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim.

Dalam pada itu, Ketua Penyiasat Komisi Pembanterasan Rasuah, Indonesia, Novel Baswedan turut menerima anugerah sama pada majlis tersebut.

“Novel merupakan seorang pegawai Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK), Indonesia.

“Semasa salah satu siasatannya pada Jun 2016, ada pihak membaling asid terhadapnya menyebabkan matanya buta sebelah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berkata, pengwujudan dana tersebut bagi membela nasib pegawai agensi-agensi anti rasuah yang terkesan ketika menjalankan tugas.

“Dana antarabangsa ini diwujudkan selaras dengan perkara yang dinyatakan di dalam United Nation Conventions Against Corruption (UNCAC).

“Ia memberi perlindungan kepada pegawai penguatkuasa agensi anti rasuah bagi negara-negara yang menjadi ahli kepada International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA),” katanya.

Terdahulu, pada 22 Januari lalu, Presiden IAACA, Tan Sri Dr Ali Fetais Al-Marri mengumumkan akan penubuhan tabung ini untuk dinamakan sempena nama Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat tahunan persatuan itu di Vienna sebagai penghormatan terhadap komitmen dalam usaha membanteras rasuah. – MalaysiaGazette