KUALA LUMPUR – Beraksi ganas sukan seni bela campuran (MMA) apatah lagi memiliki wajah yang bengis, barang kali ada yang beranggap atlet sukan itu tidak berjiwa lembut.

Namun siapa sangka terselit nilai-nilai kemanusiaan yang menyentuh hati penonton apabila dapat menyaksikan insiden tak terduga di luar gelanggang.

Dua atlet MMA yang bertarung pada awal pagi tadi, Khabib Nurmagomedov dan lawannya, Justin Gaethje membuktikan semangat kesukanan mengatasi segalanya.

Ketika khabib terduduk dan terharu di tengah gelanggang sejurus memenangi perlawanan, lawan datang memberikan kata-kata semangat sambil merangkul atlet Dagestan itu.

Padahal sebelum itu Gaethje tidak sedarkan diri gara-gara dikenakan gerakan kunci tiga segi oleh Khabib dalam perlawanan dilangsungkan di Abu Dhabi.

Namun selepas dia kembali sedar dan melihat Khabib sedang bertarung dengan emosi di gelanggang, Gaethje pantas menenangkan atlet itu dan memeluknya.

Itu adalah perlawanan pertama disertai Khabib selepas bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada Julai lalu.

Abdulmanap berusia 57 tahun dan menjadi orang terpenting yang membentuk Khabib menjadi petarung yang disegani lawan sejak sekian lama.

Demi bapanya itu, tidak lama kemudian Khabib, 32, mencampakkan sarung tangannya ke lantai gelanggang dan mengambil mikrofon.

Dia kemudian mengumumkan persaraannya yang dilakukan ketika kedudukannya berada di puncak.

“Ini adalah pertempuran terakhir saya dan mustahil saya berada di sini tanpa ayah,” katanya.

Tiga minggu lalu, Khabib dirawat di hospital kerana mengalami patah tulang pada kaki dan jarinya.

Sepanjang tempoh menjadi petarung MMA, Khabib memenangi semua 29 perlawanan yang disusun untuk dia, dengan lapan daripadanya melalui KO dan  11 lagi submission. – MalaysiaGazette