Noh Omar

KUALA LUMPUR – Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar enggan mengulas mengenai hasrat bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo untuk bertanding Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) secara berseloroh berkata, isu itu boleh diajukan kepada timbalannya, Datuk Muslimim Yahaya yang kini Ahli Parlimen Sungai Besar.

Pada PRU-14, Muslimin daripada Bersatu mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi dan calon Pas, Mohamed Salleh M. Husin.

Parlimen itu dikatakan menjadi pilihan Dr. Mohamad Khir sekiranya dipilih pucuk pimpinan UMNO untuk bertanding pada PRU-15.

“Itu tanya timbalan menteri (Muslimin),” jawabnya ringkas sambil pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 yang diadakan secara maya bagi menghimpunkan perwakilan individu dan koperasi di seluruh negara.

Muslimin yang turut hadir hanya membuat isyarat tidak mahu menjawab soalan itu sambil tersenyum.

Noh ditanya hasrat Dr. Mohamad Khir bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar dan bercita-cita mahu mengembalikan semula kerusi tersebut kepada BN dan UMNO pada PRU-15.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu yakin dengan penerimaan dan sokongan kuat masyarakat tempatan terhadapnya.

Sejak kebelakangan ini, nama Dr. Mohamad Khir disebut-sebut sedang berusaha untuk kembali ke dunia politik malah beberapa gerak kerja sudah dijalankan untuk mendekati rakyat di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Mohamad Khir, 56, menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan jika beliau diberi lampu hijau oleh pimpinan parti untuk bertanding memandangkan terdapat dakwaan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga berhasrat merebut kerusi yang sama pada PRU-15. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

BN hadapi masalah jika Khir Toyo jadi calon PRU-15