Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin. foto MOHD ADZLAN, 2 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengenakan hukuman penggantungan selama 18 bulan ke atas pemilik kelab Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin daripada sebarang aktiviti hoki berkuatkuasa serta-merta.

KHM dalam satu kenyataan memaklumkan, Lembaga Eksekutif badan induk itu yang bermesyuarat bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Disiplin KHM yang mendapati Megat Shahriman melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia (MHL).

“Semua pengurus pasukan termasuk Megat Shahriman, pengurus pasukan Hockademy, pasukan yang bertanding menandatangani Kod Tatatertib MHL.

“Menurut Artikel 45, Megat Shahriman boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan dalam tempoh 14 hari selepas menerima surat daripada KHM,” kata kenyataan itu.

Namun, dalam kenyataan yang sama, KHM memaklumkan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) telah dilepaskan daripada dakwaan berkenaan.

Pada Jun lalu, Megat Shahriman meluahkan kekecewaannya selepas Hockademy yang berada di bawah naungan KLHA tidak menerima hadiah kemenangan sebanyak RM50,000 selaku juara LHM Wanita 2020 serta tambahan RM15,000 apabila turut muncul naib juara Piala Vivian May Soars. – MalaysiaGazette