Ag Zakariah

KOTA KINABALU – Rakyat mual dengan fakta yang diputar belit pimpinan Parti Warisan semata-mata mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Pemuda Parti Cinta Sabah (PCS), Ag Zakariah Ibrahim berkata, ia termasuk sikap mereka suka menuding jari kepada orang lain atas kesilapan mereka sehingga kerajaan negeri ‘tumbang’ baru-baru ini.

Menurutnya, ia termasuk penyandang kerusi Dewan Undangan Bongawan (DUN), Dr Daud Yusuf yang bermati-matian menyalahkan Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman atas kesalahan mereka sendiri.

Jelasnya, Daud cuba memutarbelitkan maklumat yang tercatat dalam laman sosial Facebook Anifah mengikut ‘firasat’ sendiri.

“Sememangnya kerajaan dulu, Warisan ini terdesak yang amat sangat. Seandainya anda sungguh kuat dan telah lakukan yang terbaik untuk rakyat negeri ini, bagaimana pula boleh tumbang tidak sampai dua tahun? Cukuplah, ukur dulu diri sendiri. Janganlah memandai-mandai.

“Saya beri contoh bagaimana terdesaknya pimpinan Warisan seperti Daud ini. Beliau seperti putar belit fakta kononnya Anifah seorang pemimpin Sabah yang lemah ketika berdepan tekanan dari parti Malaya semasa masih berada dalam Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Pelik juga kerana Daud ini sendiri pernah menganggotai UMNO bahagian Kimanis untuk sekian lama. Lupakah? Masa itu tidak pula ‘berbunyi’ sakan seperti sekarang. Anifah sejak tahun 2008 sudah lantang bercakap tentang hak Sabah MA 63 di Parlimen.

“Setiap peluang beliau dapat semuanya digunakan untuk bercakap tentang ini, anda juga bertepuk tangan bangga kerana kelantangan suara beliau bukan begitu ketika itu?

“Ingat lagi bagaimana Anifah enggan terima jawatan timbalan menteri kerana orang Sabah lebih layak untuk jawatan tinggi berpandukan hak kesaksamaan dalam perjanjian Pembentukan Malaysia 1963 (MA63). Janganlah ingat-ingat lupa Daud.

“Anifah juga turut mengajak wakil rakyat Sabah dan Sarawak sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang peringkat Persekutuan memastikan sebarang usul MA63 dibawa ke Parlimen mendapat sokongan dua per tiga dewan.

“Bukan sahaja Parlimen, dalam forum dalam dan luar negara, ceramah dan apa sahaja platform beliau hanya bercakap tentang hak Sabah dan MA63, lupakah kamu, sudahlah retorik murahan seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sambung Zakariah lagi, melalui semua desakan serta tuntutan tidak henti akhirnya Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Hak Sabah.

Dakwa Zakariah lagi, berbanding dengan Anifah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga dilihat lebih banyak berdiam dalam isu perjuangan MA63 ketika menjadi menteri dan bila sudah kena gantung terus tubuh Warisan.

“Ketika dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Shafie juga mendiamkan diri. Mengapa pula Daud jika banyak bercakap tentang soal kepentingan serta hak-hak orang Sabah? Adakah mahu jaga hati? Hati orang Sabah bagaimana pula Daud?

“Saya lebih daripada percaya seandainya keahlian Shafie tidak di gantung ketika itu, beliau masih lagi duduk dalam UMNO tanpa menyumbang walaupun kini sedang berteriak siang malam kononnya akan bermatian berjuang terutamanya dalam isu tuntutan MA63.

“Jika betul, masa jadi Naib Presiden UMNO sudah boleh lakukan. Mengapakah Daud tidak persoal semua ini? Saya boleh senaraikan segala macam tetapi adakah anda mampu jawab semuanya? Sudahlah Daud,” ujarnya.

Dalam pada itu, dakwaan Daud kononnya Anifah tidak berbuat apa-apa mengenai keperluan membina loji penapis gas asli di Kimanis juga dibidasnya.

Jelas Zakariah, Anifah lebih mengutamakan tuntutan hak Sabah kerana jalan penyelesaian terletak pada MA63.

Katanya, isu cukai jualan gas dibawa keluar dari Kimanis ke Sarawak yang berjaya dikenakan cukai oleh kerajaan Warisan juga dibanggakan Daud hingga menyalahkan Anifah mengapa ia tidak dilaksanakan semasa beliau menjadi Menteri Luar dan Ahli Parlimen Kimanis pada masa itu.

“Persoalannya bukan terletak pada diri beliau tetapi pada Shafie sendiri yang pada masa itu menjawat jawatan Naib Presiden UMNO dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta merupakan individu paling rapat dengan Najib.

“Mengapa tidak Shafie syorkan agar cukai jualan dikenakan terhadap gas asli Sabah yang dibawa keluar oleh Petronas ke Sarawak? Kenapa sekarang boleh buat tetapi dulu langsung membisu kemudian kini terkinja-kinja seperti beruk salahkan Anifah?

“Bagaimana pula dengan skandal Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) yang bernilai RM4 billion bertujuan menyalurkan bekalan gas asli dari Kimanis ke Sandakan bagi tujuan penjanaan bekalan elektrik di kawasan pantai timur.

“Sekali lagi saya bertanya kepada Daud, kenapa Shafie yang ketika ini kononnya pejuang dan sebagai pelindung hak Sabah pada masa itu tiada inisiatif untuk mengetahui secara mendalam projek mega ini yang dibangkitkan DAP pada 2017.

“Sedangkan sebelum itu, Shafie boleh pula mengkritik isu 1MDB tetapi tidak boleh pula tahu skandal TSGP ini,” katanya.

Zakaria turut menempelak Daud yang cuba menjadi ‘hero’ dalam masyarakat Bongawan termasuk isu gesaan beliau yang mahu mereka bangkit menyokong Warisan pada PRN Sabah.

Beliau berkata, buktinya sebahagian besar warga Bongawan keliru dengan status Daud iaitu siapa sebenarnya wakil rakyat Bongawan, beliau atau pegawai khasnya?

“Tidak percaya, tanya orang Bongawan sendiri kerana mereka keliru, siapa sebenarnya Daud atau pun pegawai khasnya yang berasal dari Sarawak.

“Kimanis ada Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT), Kimanis Traning Center dan banyak kemudahan yang memberi kebaikan pada rakyat, Daud perlu tanya kepada Shafie, presiden partinya, Semporna ada apa?

“Jadi jika tiada jawapan, baik tutup mulut diam-diam sahaja,” tegasnya. –MalaysiaGazette