Temubual eksklusif bekas pesakit kanser, Lena Abdullah mengenai pengalamannya menimpa penyakit tersebut di Subang Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – ‘Tiada madah mampu diungkap, seperti dunia berhenti berputar’, itu yang dirasai seorang bekas pesakit kanser, Lena Abdullah apabila mengetahui beliau diserang kanser limfoma bukan hodgkin, 12 tahun lalu.

Lena yang kini berusia 60 tahun berkata, perkhabaran itu membuatkan dia berasa takut dan bimbang dengan risiko yang bakal dihadapinya sepanjang diserang penyakit berbahaya itu.

Beliau yang ketika itu mempunyai tiga orang anak dan masih bersekolah, menganggap kanser ini adalah satu ujian besar dan beliau perlu berusaha pulih melawan penyakit ini demi keluarga.

“Suatu hari saya terkejut ada ketulan besar di paha tetapi tidak sakit dan semakin membesar. Saya buat keputusan rujuk pada doktor kemudian disahkan ia adalah kanser limfoma bukan hodgkin.

“Apabila terima perkhabaran itu saya tidak percaya kerana saya amalkan kehidupan sihat dan sangat aktif dalam sukan, kemudian saya ambil biopsi itu bawa ke hospital lain sekali lagi doktor sahkan memang kanser.

”Walaupun kanser itu saya rasa tidak sakit, tetapi dalam tempoh empat hari saya buat keputusan untuk melakukan kimoterapi sebab bimbang ia semakin melarat dan teruk. Selain itu, saya fikirkan tentang anak-anak yang memerlukan saya,” katanya dalam keadaan sebak.

Temubual eksklusif bekas pesakit kanser, Lena Abdullah mengenai pengalamannya menimpa penyakit tersebut di Subang Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2022.

Lena berkata, emosinya pada ketika itu berubah amat drastik kerana bimbang jangka hayatnya yang hidup tidak lama, keadaan keluarganya, amalan kehidupanya yang masih tidak cukup sempurna dan bermacam lagi.

Tambahnya, sepanjang rawatan kimoterapi dilakukan di sebuah hospital swasta, kos rawatannya itu menelan belanja yang amat tinggi bahkan fizikalnya juga berubah amat ketara hari demi hari akibat kesan rawatan tersebut.

“Masa saya ingin buat kimoterapi, ramai yang kata jangan ambil sebab kesan dia amat teruk tetapi apabila saya ambil, kimoterapi itu macam sirap limau dan tidak sakit seperti orang lain kata.

“Pada masa itu, saya fikir apa orang kata jangan ambil kimo sebab sakit adalah tidak benar walaupun saya mengalami kesannya seperti rambut gugur, kening tiada, bulu mata pun tiada. Nak jumpa orang pun malu.

”Tetapi saya tidak kisah masa itu, dan kos perubatan memang mahal hingga mencecah ribuan ringgit dan saya terpaksa gadaikan barang kemas serta menggunakan kad kredit untuk rawatan kimoterapi saya itu,” ujarnya.

Lena Abdullah

Sebagai pesakit kanser, Lena berkata ia adalah satu anugerah baginya untuk berubah menjadi insan yang lebih baik dan dapat mendekatkan diri pada Allah SWT, selain itu sokongan keluarga yang kuat membuatkan dirinya nekad untuk terus pulih dan kembali sihat seperti biasa.

Beliau yang juga Presiden Pink Unity menasihati orang ramai terutama mereka yang baharu menghidap kanser segera mendapatkan rawatan kimoterapi kerana jika sudah ditahap tiga dan empat, keadaan akan menjadi semakin sukar.

Dalam pada itu, sokongan keluarga dan orang sekeliling untuk pesakit kanser amat penting kerana emosi memainkan peranan dalam pemulihan mereka untuk melawan penyakit berbahaya ini. – MalaysiaGazette