Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang bersalaman dengan seorang penjual semasa melakukan Walkabout di Kangkar Pulai, Skudai di sini hari ini.

GELANG PATAH – Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) sekiranya beliau tidak bersara dalam politik.

Penasihat DAP itu yang sudah bergiat dalam politik selama 51 tahun turut menegaskan Gelang Patah menjadi pilihan pertamanya, namun tidak menolak bertanding kerusi lain.

Ini kerana, kata Kit Siang, beliau ada juga menerima tawaran daripada DAP dari negeri lain untuk bertanding di kawasan mereka khususnya di Kedah.

“Saya ucap terima kasih kepada DAP kerana kepercayaan dan tawaran mereka, saya dah 51 tahun dalam politik sejak pembentukan DAP dan dah patut bersara.

“Kalau saya ada dalam PRU14 pilihan utama saya ialah Gelang Patah tapi kalau ada cadangan bertanding di tempat lain atas sebab strategik, saya terima,” katanya selepas Walkabout di Kangkar Pulai dekat Skudai.

Baca: Di mana Lim Kit Siang

Sementara itu, mengulas mengenai lambakan poster kehilangan beliau yang digantung di sekitar Gelang Patah, Kit Siang menjawab, ia perkara biasa dan bukan pertama kali berlaku.

“Perkara itu biasa dan bukan kali pertama,” katanya yang menegaskan tindakannya mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah kerana tidak mahu lari daripada kawasannya.

MalaysiaGazette baru-baru ini melaporkan, poster dan kain rentang mencari Ahli Parlimen, Lim Kit Siang mula bertebaran di sekitar kawasan Nusa Perintis dekat Gelang Patah.

Poster serta kain rentang itu antara lain tertulis “di manakan hilang Lim Kit Siang” dan “Where is Uncle Kit Siang ? Gelang Patah Missed You”, kali terakhir dilihat pada pilihan raya umum lalu. – MalaysiaGazette.