Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melancarkan kempen bagi mengatasi isu jalan berlubang selain masalah lampu jalan dan papan tanda yang rosak tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kempen tersebut diadakan demi memperluaskan advokasi dan kefahaman masyarakat tentang keselamatan penyelenggaran jalan raya.

“Saya menyedari kewujudan kempen-kempen seumpama ini sebelum ini namun seperti yang pernah saya nyatakan, polisi yang baik akan saya teruskan dengan memberi suntikan penambahbaikan. Inilah yang cuba kementerian laksanakan demi kepentingan rakyat Malaysia Madani.

“Melalui kempen ini juga, saya mahu memperkukuhkan No Wrong Door Policy. Ini bermakna, sistem aduan awam di bawah bidang kuasa KKR juga akan ditambah baik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berharap kempen tersebut akan dapat meningkatkan penglibatan semua pihak terutama pemain industri, agensi kerajaan, swasta dan rakyat sendiri khususnya dalam usaha menjaga jalan raya dan infrastruktur  berkaitan.

Alexander Nanta tidak menafikan peranan penting aduan awam berkenaan dengan infrastruktur dan kemudahan awam termasuklah keadaan jalan raya yang perlu dinaik taraf.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan KKR akan terus melaksanakan kerja-kerja penyelenggaran jalan raya dan perkara berkaitannya.

“Isu ini mungkin nampak seperti kecil kepada sesetengah pihak tetapi saya tidak memandang ringan kerana kesannya boleh menyebabkan kemalangan dan kematian.

“Isu melibatkan nyawa tidak boleh dipandang sebelah mata,” tambahnya.- MalaysiaGazette