Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU –  Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi  memberitahu kerajaan negeri akan memberikan tumpuan mengenai isu kos sara hidup pada Belanjawan Johor 2024 yang bakal dibentang pada 23 November depan.

Katanya, perkara itu menjadi keutamaan dan kerajaan negeri akan terus berusaha dengan pelbagai inisiatif bagi membantu menangani isu tersebut khususnya melibatkan sekuriti makanan di negeri itu.

“Semestinya (isu kos sara hidup) satu perkara yang perlu diumumkan di mana saya tengok ia perkara yang penting dan kita juga akan lihat macam mana kita nak membantu daripada segi sekuriti makanan dalam keadaan perubahan dan sebagainya.

“Kita berpendapat  perkara ini tidak akan hilang dan ia akan berterusan, jadi kerajaan negeri akan terus berusaha dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan Johor dapat dijadikan sebagai bank makanan,” katanya kepada pemberita pada Program Jualan Rahmah di perkarangan parkir kereta Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon serta Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor Lilis Saslinda Pornomo.

Onn Hafiz  juga akan berjumpa dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, untuk membincangkan mengenai hasratnya demi membawa kebaikan kepada penduduk di Johor khususnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Belanjawan Johor 2024 dan antara isu yang akan menjadi fokus.

Terdahulu Onn Hafiz memberi bayangan akan mengumumkan beberapa perkara menarik dalam Belanjawan Johor 2024 yang meliputi ketersambungan pengangkutan, pelancongan dan juga perkara seperti Johor Selamat, Johor Bersih dan sebagainya.-MalaysiaGazette