Negara mencatatkan pertambahan bilangan kes positif baharu Covid-19 dengan hari ini sebanyak 19,307  dilaporkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Selepas Perak kembali mencatatkan kes Covid-19 susulan dua kes terbaharu membabitkan dua beradik dari Sitiawan – Kota Samarahan, Sarawak pula didapati keluar daripada zon merah semalam.

Menurut data dilkeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, kes aktif Covid-19 di Kota Samarahan kini berada pada paras 39 kes dan dikategorikan sebagai zon kuning.

Ini kali pertama kawasan itu diklasifikasikan sebagai zon kuning.

Sementara itu, Kuching menunjukkan kes aktif Covid-19 menurun sebanyak 7 kes kepada 85 kes.

Dengan perkembangan itu, zon merah kini menurun kepada sembilan zon berbanding 10 zon pada Sabtu lalu.

Untuk rekod, zon kuning adalah kawasan yang mempunyai satu hingga 40 kes Covid-19 yang aktif, termasuk pesakit yang masih belum pulih.

Sekiranya sesuatu kawasan mempunyai 41 atau lebih kes aktif, ia akan dikategorikan sebagai zon merah.

Kawasan yang bebas daripada kes aktif Covid-19 akan disenaraikan sebagai zon hijau.

Kuala Lumpur masih lagi dikategorikan sebagai zon merah tertinggi apabila masih mencatatkan 367 kes aktif Covid-19 dengan 147 daripadanya direkodkan di Ibu Kota.

Mukim Batu pula mencatatkan 107 kes aktif, Kampung Baru 73 kes, dan Sri Petaling dengan 45 kes.

Selangor pula masih mencatatkan dua zon merah iaitu Petaling dengan 60 kes dan Gombak dengan 71 kes.

Daerah Hulu Langat masih mencatatkan sifar kes aktif menjadikan ia satu-satunya daerah yang hijau di negeri itu.

Di Johor, daerah Kluang masih mencatatkan 41 kes.

Daerah Rembau, Negeri Sembilan pula mencatatkan kenaikan kes mendadak dengan 43 kes positif Covid-19 pada Sabtu menjadikan kes keseluruhan aktif kebolehjangkitan Covid-19 adalah 130 kes. – MalaysiaGazette