KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tetap menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai menteri besar sehingga tamat penggal ini.

Ketuanya, Mohd. Hanis Alimin berkata, sehingga hari ini, pengurusan pentadbiran yang dipamerkan Aminuddin telus dengan akauntibiliti yang cermat dan tidak berlaku sebarang salah guna kuasa.

“Ini diperakui oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, melalui titahnya dalam sesi pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat lalu.

“Kerajaan Negeri Sembilan, pimpinan menteri besar adalah sangat cemerlang dengan berusaha mengutip hasil ke paras yang membanggakan iaitu sebanyak 98 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas tular isu hilang kepercayaan terhadap Pengerusi MPN, PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan sejak semalam.

“Krisis dalaman parti yang sedang melanda PKR Negeri Sembilan ini merupakan perkara biasa dalam mana-mana parti politik sekali pun.

“Diharapkan krisis ini dapat diselesaikan dengan harmoni dalam suasana kekeluargaan sesegera mungkin agar fokus utama kerajaan negeri hari ini untuk mensejahterakan rakyat tidak akan terpesong jauh,” kata Mohd. Hanis.

Beliau menegaskan Pemuda Pakatan Harapan, perkara tersebut tidak sedikitpun menggugat kestabilan pemerintahan PH Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri Sembilan juga berusaha dengan gigih dalam mengawal Covid-19 di samping mengeluarkan peruntukan sebanyak RM5 juta ke seluruh Negeri Sembilan melalui Ahli Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras DUN.

“Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada kerajaan Negeri Sembilan bersama kaki tangan awam khususnya frontliner di atas kejayaan mencapai imuniti kelompok.

“Seramai 669,260 orang iaitu sebanyak 82.18 peratus telah selesai divaksin, ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan,” katanya lagi.

Terdahulu, tular satu edaran memaklumkan ADUN PKR bagi kawasan Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek akan mengadakan sidang media hari ini bagi mengumumkan tindakan keluar parti.

Bagaimanapun, Mohamad Rafie menafikan perkara itu dan menyifatkan ada pihak cuba mengeruhkan keadaan dan mengambil kesempatan dalam isu pergolakan kepimpinan PKR Negeri Sembilan ketika ini.

Mohamad Rafie bersama tiga lagi wakil rakyat dikaitkan dengan isu kepimpinan Aminuddin adalah ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching, ADUN Sri Tanjung, Datuk M. Ravi dan ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad.

Kesemua mereka  dikatakan tidak bersetuju dengan lantikan Aminuddin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang dildakwa gagal melakukan tugas dengan baik.- MalaysiaGazette