Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Dua pemimpin PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang diketahui umum mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain hari ini dilantik memegang jawatan penting dalam blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR itu dilantik pengarah pilihan raya sementara penyokong setianya, Zuraida pula dilantik sebagai Ketua Wanita PH.

PH juga mengumumkan pelantikan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu sebagai pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi PH.

Dengan pelantikan ini, ia bakal mengukuhkan lagi kedudukan kem Azmin dalam PH memandangkan wujud pertembungan dua kem dalam PKR antara Azmin dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mohamed Azmin Ali

Gandingan kedua-dua pemimpin ini dilihat pemerhati politik boleh menentukan mana-mana calon pilihan mereka untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Namun, pertikaian timbul memandangkan banyak skandal terpalit dengan Zuraida yang didakwa terlibat banyak dalam urusan kerajaan negeri Selangor.

Terdahulu, Zuraida selaku Timbalan MPN Negeri Selangor yang juga Ketua Wanita PKR berhadapan dengan skandal penglibatan beliau dalam membantu syarikat Naib Ketua PKR Ampang Abdul Latif Shaari iaitu “TREMENDOUS PROGRESS SDN BHD” yang berhutang dengan Yayasan Selangor sebanyak RM233,833.

Sebelum ini juga, pemimpin AMK Ampang yang juga pegawai khasnya, Datuk Adam Rosly juga ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. – MalaysiaGazette