kuil
Pergaduhan antara dua kumpulan telah berlaku berikutan perselisihan faham tentang isu perpindahan Kuil di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 NOVEMBER 2018.

SUBANG JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan Kuil Sri Maha Mariamman tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaian dicapai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), P. Waytha Moorthy berkata, pihaknya akan cuba membawa isu pertikaian tanah kuil ini kepada Peguam Negara.

“Kuil ini tidak akan dirobohkan sehingga satu penyesaian penuh terhadap perkara ini.

“Saya akan bawa keluhan masyarakat di sini kepada pengetahuan Perdana Menteri.

“Saya juga akan berbincang dengan Peguam Negara untuk mencari penyelesaian mudah supaya kuil ini akan dapat dikekalkan di sini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan pihak  pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman, di sini, hari ini.

Terdahulu Waytha mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pemindahan kuil itu telah menyebabkan dua rusuhan berlaku hingga mengakibatkan kerosakan harta benda awam.

Waytha berkata, beliau akan membawa hasrat komuniti India di USJ 25 kepada Perdana Menteri agar kuil berkenaan dikekalkan di situ.

“Mereka ingin kuil ini dikekalkan di kawasan ini sahaja.

“(Namun) Perkara ini mestilah dibincang di peringkat tertinggi dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Katanya, Exco Selangor V. Ganabatirau memberi jaminan kepadanya bahawa perkara ini akan turut dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

“Ganabatirau berkata kepada saya bahawa beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya. – MalaysiaGazette